NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tragedi Batang Kali : Lapan mangsa tanah runtuh separa kritikal, kritikal

KUALA LUMPUR: Seramai lapan mangsa yang mengalami kecederaan separa kritikal dan kritikal dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali- Genting Highlands, Hulu Selangor dirujuk ke hospital pada 16 Disember 2022 untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat mangsa dirujuk ke Hospital Selayang, tiga mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan seorang mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Sebanyak 54 mangsa lagi mengalami kecederaan ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa-mangsa yang dirujuk ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Mangsa-mangsa yang dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama setelah menjalani pemeriksaan dan penilaian status kesihatan, dengan salah seorang mangsa  diberikan surat rujukan untuk rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kementerian Kesihatan turut berdukacita di atas kejadian tanah runtuh yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terlibat. Kami akan terus memantau dan memaklumkan perkembangan terkini kejadian dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian setelah hadir di Hospital Selayang bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang membuat lawatan di Hospital Selayang untuk melawat mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan

Pada masa sama, Noor Hisham mengesahkan sebanyak 94 mangsa terlibat dengan kejadian tanah runtuh tersebut, dengan sebanyak 85 mangsa telah ditemukan dan melibatkan 24 kematian. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo