NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Spekulasi Tengku Zafrul bakal dilantik dalam kerajaan Anwar

PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen memberi amaran pelantikan semula Tengku Zafrul Aziz sebagai menteri kewangan mungkin tidak baik untuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya.

Ini menyusul spekulasi Tengku Zafrul mungkin dilantik semula ke jawatan itu.

Beliau merupakan menteri kewangan dalam kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

“Ia tidak baik untuk Anwar atau Jemaah Menteri, apatah lagi kerana Anwar dan mereka yang rapat dengannya sudah menjelaskan pendapat mereka berhubung prestasi Tengku Zafrul ketika berkuasa,” kata bekas Ahli Parlimen itu yang enggan dinamakan.

Ketika berkempen untuk pilihan raya umum ke-15, Anwar dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, Tengku Zafrul malah tidak layak menjadi Ahli Parlimen.

“Contoh mengenai isu kejatuhan mata wang ringgit, apa yang Tengku Zafrul jawab mengenai isu ini, beliau cakap ini adalah normal akibat kejatuhan ekonomi dunia.

“Untuk pengetahuan, semasa saya menjadi menteri kewangan, kalau mata wang negara jatuh, saya akan terus buat mesyuarat tergempar untuk ketahui kenapa mata wang jatuh.

“Saya buat macam itu kerana tak nak rakyat terkesan akibat kejatuhan nilai ringgit,” katanya dipetik Utusan Malaysia pada 15 Nov lalu.

Sumber itu turut mempersoalkan kenapa nama Tengku Zafrul tiba-tiba muncul.

“Beliau tidak mendapat sokongan Barisan Nasional untuk menjadi menteri kewangan. BN mahu Johari Ghani.

“Ada begitu banyak kritikan berhubung Tengku Zafrul ketika pandemik dan selepas itu. Bayangkan, malah Najib Razak pernah beritahu Ismail supaya tidak menghiraukan Tengku Zafrul atas pendiriannya tidak membenarkan pengeluaran KWSP pusingan kedua,” kata sumber itu,

Bekas Ahli Parlimen itu merujuk masa ketika Najib mendesak pengeluaran KWSP pusingan kedua untuk mengurangkan kesan pandemik.

Malaysia Gazette memetik Najib menyifatkan Tengku Zafrul “ketinggalan zaman” dan Ismail yang merupakan perdana menteri ketika itu supaya tidak mendengar nasihat menteri itu, sebaliknya perlu mendengar rintihan rakyat.

Terdahulu, warganet menyuarakan kebimbangan mereka berhubung kemungkinan Tengku Zafrul dilantik semula sebagai menteri kewangan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo