NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ronald Kiandee dilantik terajui Bersatu Sabah

PETALING JAYA – Bekas Menteri Pertanian Industri dan Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Perkara tersebut diumumkan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Menurut Muhyiddin, Ronald akan bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Sabah dan PN di negeri itu sehingga penyusunan semula diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Majlis Tertiggi (MT) PN.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh MPT dan hanya MPT yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya,” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa dukacita dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Lebih-lebih lagi katanya, kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam parti yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu, Muhyiddin berkata, ia akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo