NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kit Siang berniat jahat terhadap PN, Pas – Ahmad Tarmizi

Ahli Parlimen Sik mengecam kenyataan itu menegaskan, ia mempunyai niat jahat dan berbaur hasutan dan wajar disiasat oleh pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Kenyataan bersifat provokatif dan ekstremis oleh veteran DAP, Lim Kit Siang supaya diambil langkah tertentu agar Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya sebagai tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika mengecam kenyataan itu menegaskan, kenyataan niat jahat dan berbaur hasutan itu wajar disiasat oleh pihak berkuasa.

Katanya, ini jelas menunjukkan Kit Siang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, bahkan menjadi ejen penyuntik Islamophobia di kalangan masyarakat majmuk.

“Beliau menyebutkan langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya.

“PRU yang dimaksudkan ialah 10 tahun akan datang iaitu PRU tahun 2032. Ini adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

“Jelas, tiada pembohongan seperti dicanangkan Kit Siang tetapi ketelusan pemimpin berjiwa rakyat seperti Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Pengerusi Perikatan Nasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) menyebabkan rakyat terbuka menerima dan akhirnya banyak kerusi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan majoriti sangat besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang pada 9 Disember lalu dilaporkan berkata, kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam “gelombang hijau” Pas.

Katanya, kerajaan harus mengambil pelajaran daripada PRU15 bagi mengelak demokrasi dirampas oleh politik “pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama”.

Katanya lagi, langkah itu boleh memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, iaitu 10 tahun dari sekarang.

Menurut Ahmad Tarmizi, PN enggan membentuk Kerajaan Perpaduan bukan kerana membantah cadangan Yang di-Pertuan Agong seperti difitnah oleh PH dan Barisan Nasional (BN).

Tetapi, ujar beliau, PN enggan berkompromi dengan kluster mahkamah yang disifatkan seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ yang sangat mementingkan diri sendiri.

“Golongan ini sanggup menggadaikan prinsip keadilan serta mengabaikan kehendak rakyat yang menolak kerakusan pemimpin yang terpalit dengan rasuah.

“Kemenangan besar PN merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti lebih 16,260 telah menterjemahkan penolakan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang tidak telus.

“Bahkan, kerajaan ini sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam Kabinet demi kelangsungan kuasa mereka,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan di 74 kerusi Parlimen dalam Gelombang PN Best menandakan suatu permulaan yang menggetarkan kerajaan PH dan BN sehingga terpaksa menyekat video pro PN dalam media sosial seperti TikTok.

“Perbuatan seumpama ini  akhirnya menjerumus kerajaan  PH+BN sebagai sebuah rejim yang cakap tidak serupa bikin dan tidak menjamin kebebasan media seperti yang dijanjikan.

“Bahkan, ia bersifat double standard apabila tiada tindakan sekatan dibuat bagi kenyataan provokatif penyokong PH+BN di media sosial yang lain seperti di Twitter.

“Maka Gelombang PN Best bermaksud membawa kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama, pendekatan Pas yang menekankan aspek prinsip menjadikan ia wadah bagi memantapkan pegangan hidup masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” kata beliau. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo