NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Elaun ketua kampung, masyarakat dinaikkan kepada RM1200 sebulan

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertimbangan itu mengambil kira bagi meningkatkan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi ini yang berkhidmat siang dan malam bagi membantu masyarakat setempat.

“Sukacita saya umumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

“Di samping itu, kerajaan Negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan akan turut menyambut baik inisiatif murni ini, seterusnya menambah sekurang-kurangnya RM 300 lagi bagi menjadikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada Februari 2019, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan.

Osman dilaporkan berkata, pertambahan itu menjadikan kadar elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum ini.

Menyentuh mengenai cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan ini. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo