NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan Kit Siang provokatif, ekstremis

BANGI, 16 Jamadilawal 1444H, Ahad – Kenyataan Lim Kit Siang mengenai langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya bukan sahaja bersifat provokatif bahkan ekstremis.

Malah kenyataan veteran parti tamak haloba DAP itu yang menyebut langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2032 iaitu 10 tahun dari sekarang adalah tuduhan berat berniat jahat.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ia juga adalah hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama dan perlu disiasat pihak berkuasa.

Katanya, kenyataan itu jelas menunjukkan Kit Siang seorang yang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan bahkan menjadi ejen penyuntik Islamophobia di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Jelas, tiada pembohongan seperti yang dicanangkan oleh beliau tetapi ketelusan pemimpin berjiwa rakyat seperti Presiden PAS, Pengerusi PN dan Menteri Besar Kedah menyebabkan rakyat terbuka bagi menerima dan akhirnya banyak kerusi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan majoriti yang sangat besar.

“PN enggan membentuk kerajaan perpaduan bukan kerana membantah cadangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang difitnah oleh PH dan BN, tetapi enggan berkompromi dengan kluster mahkamah yang disifatkan seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

“Iaitu sangat mementingkan diri sendiri dan sanggup menggadaikan prinsip keadilan serta mengabaikan kehendak rakyat yang menolak kerakusan pemimpin yang terpalit dengan rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kit Siang menerusi laman blognya berkata, kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam ‘gelombang hijau’ PAS.

Katanya, kerajaan harus mengambil pelajaran daripada PRU15 bagi mengelakkan demokrasi dirampas oleh politik ‘pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama’.

Ahmad Tarmizi berkata, kemenangan besar PN dalam merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti lebih 16,260 turut menterjemahkan penolakan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang tidak telus.

Bahkan sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam Kabinet demi kelangsungan kuasa mereka.

Malah katanya, kemenangan di 74 kerusi Parlimen dalam ‘Gelombang PN Best’ ini menandakan suatu permulaan yang menggetarkan kerajaan PH dan BN sehingga terpaksa menyekat video pro-PN dalam media sosial seperti TikTok dan akhirnya menjerumuskan kerajaan PH dan BN ini sebagai sebuah rejim yang cakap tidak serupa bikin.

“Ia juga tidak menjamin kebebasan media seperti yang dijanjikan bahkan bersifat ‘double standard’ apabila tiada tindakan sekatan dibuat bagi kenyataan provokatif penyokong PH dan BN di media sosial yang lain seperti di Twitter.

“Maka, ‘Gelombang PN Best’ membawa maksud kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pendekatan PAS yang menekankan aspek prinsip menjadikan ia wadah bagi memantapkan pegangan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Sumber | ismaweb / Siti Hafidah
( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo