NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengurusan bencana negara masuk fasa pemulihan awal - NADMA

Jumlah PPS di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menunjukkan penurunan, namun jumlah mangsa di PPS berkapasiti besar di daerah Pasir Mas, Kelantan masih konsisten. - Gambar fail/Astro AWANI


KUALA LUMPUR: Fasa pengurusan bencana di seluruh negara ketika kini memasuki fasa pemulihan awal dan pasca bencana, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah (JPBD), diminta menyelaras pengumpulan data kerosakan dan kerugian dialami sektor terlibat, sementara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan menyelaras keperluan mengepam keluar air di kawasan masih bergenang air banjir.
Kenyataan agensi itu menyatakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), akan melaksanakan operasi pembersihan sisa banjir dan menyelaras kerja pembersihan bagi negeri-negeri yang tidak menerima pakai Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007).
"KPKT akan melaksanakan pembaikan infrastruktur awam seperti jalan raya dan pasar awam melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala pembaikan dan pembinaan rumah baharu, semua PKOB perlu segera mengemukakan senarai nama mangsa kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk tindakan lanjut," menurut NADMA.
Sementara itu, kenyataan NADMA itu memaklumkan secara keseluruhannya, situasi banjir di Semenanjung bertambah baik dan sehingga 4 petang tadi, terdapat penurunan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang signifikan iaitu 41,539 mangsa di 194 PPS berbanding 58,054 mangsa di 316 PPS, semalam.
Jumlah PPS di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menunjukkan penurunan, namun jumlah mangsa di PPS berkapasiti besar di daerah Pasir Mas, Kelantan masih konsisten.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, berdasarkan amaran ribut petir harian dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) keadaan banjir kilat berisiko berlaku di kawasan rendah.
"Cuaca berimpak tinggi diramalkan berlaku di Sabah bermula esok, berpotensi membawa hujan lebat dan risiko banjir dan lain-lain bencana cetusan hujan di daerah-daerah negeri itu, justeru kesiapsiagaan semua pihak perlu dipertingkatkan," menurut kenyataan NADMA itu.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa berdasarkan Ramalan Cuaca Signifikan MET Malaysia tengah hari tadi, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 27 Dis dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di Sabah dan Sarawak serta perairan Laut China Selatan.
"Keadaan itu boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan. PKOB negeri Sabah dan Sarawak diminta untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir," menurut kenyataan itu.
Selain itu, NADMA memaklumkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga 4 petang tadi, paras semasa air sungai di pantai timur Semenanjung menunjukkan trend menurun berbanding semalam dengan hanya empat stesen di paras bahaya dan tiga paras amaran.
Sungai pada paras bahaya ialah Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan; serta Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus, Terengganu.
Paras amaran melibatkan Sungai Pahang di Lubok Paku, Maran dan Paloh Inai, Pekan, serta Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin masing-masing di Pahang.
Sementara, Sarawak merekodkan trend air sungai menaik apabila tiga sungai di paras amaran iaitu Sungai Similajau di Bintulu; Sungai Punan Bah B, Kapit dan Sungai Kaki Wong, Betong, manakala Sungai Kuala Balingian di Mukah pada paras bahaya.
-- BERNAMA


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo