NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NUTP gesa wujudkan jawatankuasa khas kaji beban tugas guru


MELAKA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.

Presidennya Aminuddin Awang berkata jawatankuasa berkenaan penting dalam usaha mencari resolusi menyelesaikan beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Beliau berkata cadangan mewujudkan jawatankuasa berkenaan telah lama dikemukakan kepada beberapa menteri pendidikan sebelum ini namun tiada tindakan dilakukan.

"Cadangan mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru ini akan kita bawa kepada Menteri Pendidikan baharu Fadhlina Sidek dalam perjumpaan yang akan NUTP adakan bersama beliau dalam masa terdekat.

"Sekarang ini guru-guru banyak dibebani dengan tugasan yang tidak relevan seperti kerja-kerja perkeranian sekali gus menyebabkan masa guru antara murid kurang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NUTP dan Tech Insure Sdn Bhd (A Tech) di sini hari ini.

Beliau berkata isu lain akan dikemukakan pada perjumpaan itu termasuk pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pada tahun hadapan yang dilihat menambah beban baharu kepada guru antaranya pemeriksaan kertas ujian, cetakan soalan dan kemasukan markah secara dalam talian.

Katanya, beban kerja tersebut jika tidak ditangani secara berhati-hati dibimbangi akan membangkitkan gelombang kemarahan golongan guru terhadap Kementerian Pendidikan seterusnya menjadi punca ramai guru memilih untuk bersara awal.

Aminuddin berkata selain itu, NUTP berharap Fadhlina dapat meneruskan dasar atau inisiatif baik yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini agar guru dan murid tidak terbeban dengan perubahan dasar setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 400,000 guru di bawah Kementerian Pendidikan berpeluang memperbaharui insurans kenderaan mereka secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa faedah menerusi Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Penjawat Awam MyEzyCover.

Katanya, inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama A Tech itu bertujuan membantu penjawat awam khususnya golongan guru yang mempunyai komitmen kewangan tinggi mengurangkan tekanan kewangan terutama pada waktu memperbaharui insurans kenderaan.

"Kita mengalu-alukan 400,000 guru termasuk 230,000 ahli NUTP di seluruh negara untuk memanfaatkan inisiatif yang disediakan dan pembayaran pinjaman ini akan dilakukan menerusi potongan gaji oleh Angkasa.

Terdahulu, pada majlis pertukaran MoU, Aminuddin mewakili NUTP manakala A Tech diwakil pengerusinya Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo