NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MOU Kerajaan campuran ke arah sistem dua parti

1. Dua hari yang lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berjaya mengikat parti-parti yang membentuk kerajaan untuk kekal menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sehingga parlimen dibubarkan bagi PRU ke-16. Parti-parti utama yang membentuk kerajaan campuran, iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan telah menandatangani satu MOU yang dikatakan akan mengekalkan kerajaan itu sehingga akhir penggal parlimen. MOU tersebut mengandungi butiran perjanjian antara kesemua parti-parti untuk memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri dan RUU-RUU yang penting dapat diluluskan bila dibentang di Dewan Rakyat.

2. MOU yang ditandatangani ini telah mendapat reaksi yang pelbagai dari beberapa pihak termasuklah ahli-ahli parlimen di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Secara umumnya, ramai yang melihat MOU ini sebagai tindakan meragut kebebasan seseorang ahli parlimen untuk mengundi sesuatu usul di Dewan Rakyat mengikut pertimbangan masing-masing. Dengan pengertian lain, mandat rakyat yang mengundi seseorang ahli parlimen atas faktor kewibawaan calon tersebut telah dinafikan, apabila  beliau tidak mempunyai pertimbangan melainkan menurut kehendak ketua parti. Sememangnya MOU ini langkah mundur ke belakang dari segi demokrasi.

3. Setakat pemerhatian saya terhadap kandungan MOU tersebut, tiada jaminan Anwar akan terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal. Demikian juga, tiada jaminan kerajaan campuran ini akan kekal stabil dan terhindar dari politiking sesama parti-parti yang membentuk kerajaan. Terdapat empat faktor yang akan terus menghambat kestabilan kerajaan campuran dan dukungan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri. Salah satu faktor yang akan terus menghambat kerajaan campuran dan Anwar, ialah kerajaan ini diberi mandat utama oleh kaum minoriti di negara ini. Saya akan mengulas faktor-faktor ini di dalam rencana yang lain.

4. Meskipun demikian, MOU yang ditandatangani ini mempunyai kesan positifnya, iaitu membawa politik Malaysia ke arah sistem politik dua parti. Sistem politik dua parti ini penting untuk memastikan situasi parlimen tergantung (hung parliament) tidak lagi berlaku selepas PRU. Malah, sistem politik dua parti ini lebih berupaya mengekang kerajaan yang tidak stabil dan pertukaran kerap Perdana Menteri berbanding dengan MOU yang ditandatangani. MOU yang ditandatangani oleh kerajaan campuran kelmarin merintis pembentukan dua gabungan parti utama iaitu PH sebagai tulang belakang kerajaan dan PN sebagai pembangkang.

5. Sistem politik dua parti adalah merujuk kepada dua parti politik yang dominan bersilih ganti menguasai kerajaan di sesebuah negara, tiada parti dominan yang ketiga. Contoh negara yang wujud sistem politik dua parti ialah Amerika Syarikat, di mana ada dua parti yang dominan iaitu Parti Demokrat dan Parti Republikan. Setakat pemerhatian penulis, tiada undang-undang khusus yang mengatur kewujudan dua parti dominan di dalam sesebuah negara. Lazimnya, kewujudan dua parti yang dominan disebabkan persaingan dua idealisme politik utama yang mempengaruhi rakyat.  Bagaimanapun, peraturan-peraturan pilihanraya boleh juga mendorong kewujudan sistem politik dua parti.

6. Di Malaysia, sejak tahun 1957 sehinggalah 2018, hanya wujud satu parti atau gabungan parti yang dominan, iaitu PERIKATAN atau BN. Semasa Singapura berada di dalam Malaysia, PAP pernah berusaha mewujudkan satu gabungan parti sebagai alternatif kepada PERIKATAN tetapi akhirnya gagal. Kesempatan yang paling baik ke arah sistem politik dua parti ialah antara tahun 1999 hingga 2013, dengan wujudnya gabungan parti BA dan kemudiannya selepas 2008 menjadi PR. Cuma, BA dan PR menghadapi laluan sukar untuk didaftarkan. Sekiranya BA atau PR berjaya didaftarkan, boleh jadi sistem politik dua parti ini akan kekal diamalkan sehingga kini.

7. Pada PRU ke-14 tahun 2018, politik Malaysia mula berubah ke arah sistem politik pelbagai parti, apabila wujud tiga gabungan parti utama iaitu BN, PH dan GAGASAN. Bagaimanapun, kewujudan GAGASAN tidak begitu kukuh disebabkan baru sahaja ditubuhkan, menyebabkan persaingan utama berlaku antara BN dan PH. Walaupun PH memenangi PRU ke-14 melebihi majoriti mudah dibantu oleh Warisan untuk menjadikan majoriti lebih besar, kerajaan yang wujud ketika itu tidak stabil. Diyakini, antara faktor utama menyebabkan kerajaan tidak stabil ialah ketiadaan sistem politik dua parti, di samping negara belum mempunyai akta anti lompat parti.

8. Sistem politik pelbagai parti ini, kemudiannya mencorakkan pertandingan PRU peringkat negeri Melaka dan Johor. Bagaimanapun, tidak berlaku situasi DUN tergantung apabila BN menang besar di kedua-dua negeri tersebut. Sebaliknya dalam PRU ke-15 baru-baru ini, kewujudan sekurang-kurangnya empat gabungan parti yang dominan iaitu PH, PN, BN dan GPS, telah menyebabkan berlaku situasi parlimen tergantung. Hanya setelah beberapa hari, situasi parlimen tergantung ini dapat di atasi. Namun demikian, diyakini kerajaan campuran yang dibentuk ini, belum tentu stabil atau kekal sehingga akhir penggal, walaupun selepas MOU ditandatangani. 

9. MOU yang ditandatangani merupakan satu ikhtiar Anwar untuk memastikan sokongan dari parti-parti yang membentuk kerajaan terhadapnya kekal. Bagaimanapun, sekiranya usaha tidak dirintis untuk mewujudkan sistem politik dua parti, diyakini kerajaan campuran hari ini tidak juga stabil. Lebih daripada itu, setiap kali selepas PRU di masa hadapan, situasi parlimen tergantung kemungkinan besar terus berlaku. Buat masa ini, dua gabungan parti yang dominan ialah PH dengan 82 kerusi dan PN memperolehi 74 kerusi, justeru alangkah baiknya jika PH dan PN menjadi dua parti utama bersaing dalam menghadapi PRU yang akan datang.

10. Disebabkan BN sudah menandatangani MOU bersama PH, boleh jadi sudah sampai masanya BN dibubarkan. Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah menarik BN dan UMNO jauh ke dalam gelanggang PH terutama setelah menandatangani MOU. Pemimpin utama BN dari kalangan UMNO sedang mengusahakan proses normalisasi DAP dan Anwar dalam kalangan ahli-ahli UMNO. Sampai satu masa nanti, bila proses normalisasi ini berjaya, ahli-ahli UMNO tidak lagi kekok menerima Anwar dan DAP. Oleh sebab itu, tidak perlu lagi BN terus wujud jika ahli-ahli UMNO sudah boleh berasimilasi dengan Anwar dan DAP.

11. Sebenarnya tidak ada alasan yang kuat untuk BN tidak dibubarkan, setelah MOU ini ditandatangani. BN sudah tidak lagi dominan kerana sudah hilang dominasi ke atas Sarawak (sudah wujud GPS), Sabah dan sebahagian besar negeri-negeri Semenanjung. Sekiranya Dr Ahmad Zahid tidak bersedia membubarkan BN, ia boleh menimbulkan syak wasangka dari kalangan pimpinan dan ahli PH, iaitu BN sedang mempertimbangkan sesuatu, sekiranya tuntutan-tuntutan mereka di hari mendatang tidak dipenuhi. Sekiranya BN dibubarkan, parti-parti komponen BN dan juga parti-parti mesra BN boleh memilih untuk menyertai PH atau PN, atau menjadi parti tiada gabungan.

12. Secara peribadi, saya melihat melalui sistem politik dua parti ini, situasi parlimen tergantung dapat dielakkan setiap kali selepas PRU. Selain daripada itu, ia adalah pilihan terbaik untuk mengelakkan ketidakstabilan politik seperti yang berlaku antara tahun 2018 sehingga 2022. Bagi memperkukuhkan amalan sistem politik dua parti ini, dicadangkan supaya digubal atau dipinda undang-undang sedia ada, agar hanya ada dua gabungan parti di peringkat Persekutuan, manakala parti-parti kecil yang tiada dalam gabungan tetap boleh menyertai PRU peringkat Persekutuan atas kapasiti parti individu. Demikianlah sudut positif yang boleh dilihat dari MOU yang ditandatangani.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo