NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ditamat perkhidmatan, Mohd. Syafiq terkilan keputusan kerajaan, mahu ambil tindakan undang-undang


PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Syafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatannya semalam mengakui terkilan dengan keputusan kerajaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, surat penamatan perkhidmatan bertarikh 1 Disember 2022 itu hanya diterima semalam (12 Disember) dan tidak diberikan notis yang munasabah apabila tarikh berkuatkuasa penamatan perkhidmatan adalah pada hari yang sama beliau menerima surat tersebut.

Mohd. Syafiq berkata, sejak menerajui Perkhidmatan Awam telah banyak penambahbaikan yang diusahakan beliau namun ada perkara yang tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam berkepentingan di dalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.

“Justeru, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam.

“Saya berasa terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya meskipun telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Syafiq juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan semasa menjawat jawatan sebagai KPPA malah telah menjalankan tugas secara amanah juga tegas.

“Sejak menjawat jawatan KPPA, terdapat usaha menghalang saya bertindak dengan efisien dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikkan pangkat telah ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai Tuan Pengerusi Mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat perkhidmatan Awam.

“Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikkan pangkat pegawai awam kerana perlu melalui Mesyuarat Lembaga. Kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong di dalam sektor awam tidak dapat diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi Kementerian atau Agensi,” jelas beliau.

Tambah Mohd. Syafiq, beliau amat menyokong aspirasi kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan awam dan menyahut manifesto kerajaan baharu untuk membuat transformasi dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati semua Pegawai Awam menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, memegang prinsip berintegriti, tidak rasuah dan mendahulukan kesejahteraan rakyat.

“Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota Perkhidmatan Awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo