NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah tolak rayuan Najib dapatkan maklumat bank keluarga Zeti

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Najib Razak untuk mendapatkan maklumat perbankan berkaitan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Najib yang bertujuan untuk memperkukuhkan pembelaan bekas menteri kewangan itu terhadap perbicaraan rasuah membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB yang sedang berlangsung.

Najib sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai tahun lalu yang menolak permintaanya untuk mendapatkan dokumen itu.

Semasa perbicaraan 1MDB, pasukan pembelaan Najib membangkitkan kemungkinan pengawasan Bank Negara - berhubung aliran dana ke dalam akaun bank perayu - mungkin telah dikompromi oleh keluarga Zeti yang kononnya menerima bayaran daripada tokoh utama 1MDB dan ahli peniaga dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib pagi ini mengesahkan keputusan rayuan Najib yang diputusakan oleh panel hakim yang juga terdiri daripada hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan.

Antara dokumen yang dimohon oleh Najib ialah dokumen yang didakwa menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low, yang masih cuba dijejaki oleh pihak berkuasa Malaysia.

Najib juga antara lain memohon untuk meneliti dokumen mahkamah Amerika Syarikat berhubung pendedahan bekas pengarah urusan Goldman Sachs Tim Leissner bahawa dia merasuah beberapa pegawai 1MDB.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan suami Zeti, Tawfiq Ayman menafikan bahawa dia telah menerima rasuah.

Pihak pendakwaan juga dijangka memanggil Zeti untuk memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB terhadap Najib.

25 tuduhan

Pada perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada firma pelaburan negara itu.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Sebelum ini semasa perbicaraan 1MDB, peguam pembelaan Najib berhujah bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan beberapa yang lain bersekongkol dengan Low dalam penyelewengan itu, dengan bekas perdana menteri itu mendakwa dia tidak mengetahui mengenainya.

Leissner telah mengaku bersalah terhadap kes berkaitan 1MDB di mahkamah AS, dan membuat pengakuan bahawa dia telah merasuah beberapa pegawai 1MDB dan orang lain.

Dia juga memberi keterangan di Mahkamah New York semasa perbicaraan jenayah berkaitan 1MDB terhadap seorang lagi bekas kakitangan bank Goldman Sachs, warga Malaysia Roger Ng.

Najib diwakili oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo