NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lima sungai di Terengganu lepasi paras bahaya

KUALA TERENGGANU : Lima sungai di tiga daerah di negeri ini dilaporkan melepasi paras bahaya manakala dua sungai lagi melepasi paras amaran, hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/ melaporkan, tiga sungai yang melepasi paras bahaya itu terletak di daerah Hulu Terengganu dan masing-masing satu di daerah Besut serta Setiu.

Di Hulu Terengganu, stesen bacaan paras air di Sungai Berang di Kampung Menerong ialah 25.24 meter (m) mengatasi paras bahaya 24.5, Sungai Peneh di Felda Mengkawang pula setinggi 37.71 m berbanding paras bahaya 37.5 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 21.06 m berbanding paras bahaya 19.7 m.

Di Setiu, stesen bacaan paras air merekodkan ketinggian Sungai Nerus di Kampung Langkap ialah 21.72 m mengatasi paras bahaya 21 m.

Di daerah Besut pula, stesen bacaan paras air di Sungai Besut di Jambatan Keruak ialah setinggi 37.13 m berbanding paras bahaya 35 m.

Selain itu, dua sungai yang telah melepasi paras amaran pula ialah Sungai Chalok di Setiu setinggi 8.27 m mengatasi paras amaran 7.7 m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman setinggi 2.05 m berbanding paras amaran 1.9 m.

Dua stesen bacaan pula merekodkan kenaikan paras air di tahap waspada aitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Ketika ini, hujan lebat sedang berlaku di beberapa kawasan di Terengganu termasuk Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Seramai 627 mangsa banjir daripada 175 keluarga yang terjejas akibat bencana itu kini berada di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Terengganu.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – UTUSAN

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo