NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Layla Sania menangis menang Pelakon Wanita Harapan FFM32


PETALING JAYA – Pelakon muda, Layla Sania menangis dengan teruk ketika mengetahui dirinya memenangi trofi Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) pada 2 Disember lalu.

Layla yang memenangi kategori tersebut untuk filem Small Town Heroes bagaimanapun tidak dapat menghadirkan diri pada malam anugerah kerana sibuk dengan penggambaran sebuah drama.

Ujarnya, sewaktu pengumuman pemenang kategori tersebut berlangsung, dia sedang menjayakan sebuah babak.

“Untuk kategori sebelumnya, saya sempat melihat dalam skrin telefon sebelum memulakan babak saya.

“Semasa sedang berlakon, nampak bayang-bayang umi (ibunya) melompat. Saya hairan kenapa dia terlompat-lompat. Umi beritahu saya menang tetapi rasa pelik apa anugerah yang saya dapat,” katanya.

Kemenangan tersebut diiringi dengan tangisan kerana pemilik nama lengkap Layla Sania Khairuzikri itu tidak menyangka dirinya menjadi pemenang kategori berkenaan.

Hal ini kerana ujar Layla, 20, Small Town Heroes merupakan filem pertama lakonannya, bahkan dia bersaing dengan calon lain yang kuat seperti Amelia Henderson.

“Menangis teruk selepas sedar saya memenangi anugerah tersebut kerana saya tidak sangka memandangkan ini filem pertama saya.

“Persaingan untuk kategori tersebut juga sangat kuat seperti Amelia Henderson. Jadi saya memang tidak sangka dapat membawa balik trofi pada malam tersebut,” ujarnya Kosmo! Online ketika ditemui di Lomo Pictures Sdn. Bhd.

Meskipun masih tidak percaya dengan kemenangan diraihnya, pelakon yang fasih berbahasa Mandarin itu enggan mensia-siakan penganugerahan tersebut dan menjadi pendorong untuk terus bersemangat dalam karier lakonan.

“Selepas memenangi anugerah, saya terus bersemangat dalam melakonkan babak untuk hari berikutnya.

“Lagi satu, saya mahu buktikan kepada diri bahawa saya berhak memenangi anugerah tersebut yang dilakukan atas usaha sendiri,” jelas Layla yang juga seorang penyanyi.

Filem Small Town Heroes sebuah karya komedi Mandarin arahan Ryon Lee. Selain Layla, pelakon cilik Phua Chandler turut memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo