NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TM gabung dan jenama semula perniagaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan penyusunan semula peringkat dalaman yang membabitkan pemindahan perniagaannya di Malaysia menjadi sebuah entiti operasi tunggal bernama TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar, berkata penyusunan semula peringkat dalaman itu dijangka akan diselesaikan menjelang 31 Disember 2023.

"Menggabungkan perniagaan yang pelbagai di bawah TM Tech juga akan mengukuhkan kepemimpinan TM dalam Konvergens Mudah Alih-Tetap, menawarkan jalur lebar tetap bersepadu, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital, dan penyelesaian inovatif kepada komuniti, perniagaan dan kerajaan.

"Ketika gaya hidup digital, peningkatan persaingan dan jangkaan pihak berkepentingan membentuk semula industri ini, penggabungan perniagaan-perniagaan ini menjadi sebuah entiti operasi akan membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelbagai segmen pelanggan dan memenuhi keperluan mereka dengan lebih pantas.

"Menyatukan perkhidmatan sambungan dan penawaran digital kami juga akan membolehkan kami memanfaatkan kombinasi penyelesaian terbaik dengan mudah untuk memenuhi keperluan unik gaya hidup setiap individu dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Imri berkata, penyusunan semula itu akan menyelaraskannya dengan amalan terbaik industri dan akan meningkatkan kelebihan daya saing TM dalam kalangan syarikat telekomunikasi serta peserta digital di Malaysia dan antarabangsa, sambil terus memenuhi aspirasi kumpulan untuk menjadi sebuah syarikat teknologi (TechCo) berteraskan insan yang terkemuka.

"Di bawah TM Tech, pengguna akan terus menikmati sambungan semua-dalam-satu yang terpantas dan terluas serta kandungan digital. Segmen perusahaan dan sektor awam juga akan mendapat manfaat daripada penyelesaian digital dan pintar TM, termasuk awan dan pusat data, keselamatan siber dan penawaran industri pintar.

"Entiti operasi ini juga akan terus menerajui usaha pembinaan negara dalam memperluaskan dan memodenkan rangkaian gentian negara, pusat-pusat data dan sistem kabel dasar laut.

"TM Tech akan dipimpin oleh ahli pengurusan kanan TM sedia ada dan akan menghimpunkan kumpulan bakatnya dengan pelbagai kemahiran di bawah satu syarikat, justeru menggalakkan ketangkasan dan kerjasama merentas fungsi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya.

Beliau menambah, warga TM akan kekal sebagai enjin pelaksanaan untuk TM dan transformasi digital negara.

"Walaupun tenaga kerja kami akan diselaraskan semula dengan entiti operasi tunggal ini, namun fungsi, kelayakan dan faedah mereka akan kekal tanpa sebarang perubahan. Semua perjanjian bersama rakan usahasama, vendor dan perjaniian perkhidmatan TM juga akan kekal termaktub seperti sedia ada.

"Telekom Malaysia Bhd kini akan berkhidmat sebagai syarikat pemegangan pelaburan untuk entiti operasi ini, dan tiada sebarang perubahan pada semua anak syarikat lain dalam Kumpulan TM.

"Selain untuk pertumbuhan TM, penyusunan semula ini mengukuhkan peranan kami dalam memajukan transformasi digital negara dan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya.

Katanya, sementara ia menandakan satu pencapaian baharu dalam transformasi berterusan kumpulan itu, pihaknya tetap berpaksikan dan berpegang teguh kepada tujuan untuk membolehkan penerapan digital, peluang dan kemajuan untuk semua.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo