NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan kena cari jalan cukupkan bekalan, rakyat tak banyak pilihan - CAKE

Mohamad Yusrizal Yusof berkata, pengguna sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan atau alternatif, dan kerajaan perlu mencukupkan bekalan, mengawal harga serta kualiti barang. - Gambar hiasan/Bernama


KUALA LUMPUR: Tiada jalan lain untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat khususnya dalam hal berkaitan kenaikan harga barangan keperluan seperti ayam, selain daripada subsidi daripada kerajaan.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusof berkata, pengguna sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan atau alternatif, dan kerajaan perlu menumpukan usaha terhadap mencukupkan bekalan, mengawal harga serta kualiti bahan.
Mengambil contoh langkah kerajaan yang mengimport bekalan telur dari India, kata Mohamad Yusrizal, ia hanya akan menyelesaikan masalah bekalan, namun tidak menyelesaikan masalah harga dan kualiti barangan.
"Kalau nak kurangkan penggunaan ayam dan ambil alternatif sumber protein lain seperti telur, bekalan telur pula kurang di pasaran. Nak ambil ikan, sekarang musim hujan, jadi hasil tangkapan kurang, ini akan menyebabkan kenaikan harga mendadak, kualiti ikan pun kurang.
"Kerajaan seharusnya cari jalan pertingkat bekalan dan kawal harga. Kalau larang, tak payah makan ayam, ini kenyataan tidak tepat, pengguna tiada pilihan sumber protein lain," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Sabtu.
Semua pihak, tambahnya, perlu mengambil iktibar situasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kekurangan permintaan menyebabkan bukan sahaja lambakan bekalan, tetapi juga pengeluar akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan kualiti produk mereka.
"Apa yang boleh dilakukan ialah kekalkan subsidi untuk sementara waktu. Sebelum ini telah diperkenalkan subsidi minyak masak, telur, dan barang keperluan lain.
"Tetapi ia dilakukan berpanjangan sehingga merugikan negara. Subsidi kerajaan perlu bersifat sementara, kementerian berkaitan perlu ada kempen menyarankan rakyat bercucuk tanam dan memperluaskan industri sumber makanan bagi mencukupkan dan melambakkan bekalan makanan di pasaran," ujarnya.
Pada Jumaat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Ini kerana kata Rafizi, pengguna mempunyai banyak pilihan lain, mengambil contoh tentang pemilihan makanan.

Sumber I Astro Awani 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo