NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemungkinan 'gelombang hijau' landa P Pinang dalam PRN?


Kemenangan besar PN di Padang Serai membangkitkan kebimbangan pada PH Pulau Pinang - yang terletak bersebelahan - terhadap "gelombang hijau" yang tidak menunjukkan petanda akan mereda.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU15.

Walaupun ia tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, Chow dilaporkan berkata pengaruh gabungan itu di negeri itu tidak akan menjadi sekuat dulu.

Chow Kon Yeow

Pada PRU15, PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah. Di Pulau Pinang, dua kubu kuat BN, iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor, juga dirampas gabungan itu.

Namun kekalahan paling mengejutkan adalah di Permatang Pauh, apabila Nurul Izzah Anwar tewas di tangan calon PN Fawwaz Md Jan. Kerusi itu dipegang keluarga Anwar sejak 1982.

Tiga kerusi ini adalah kerusi separa bandar dengan orang Melayu merangkumi 70 peratus pengundinya.

Jika trend semasa beterusan, tidak mustahil PN akan menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu dalam PRN akan datang.

Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat September lalu menunjukkan 26 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang adalah kerusi campuran di mana Melayu bukan majoriti pengundi, manakala 14 kerusi lagi memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu.

Daripada 14 DUN tersebut, 11 terletak di Seberang Perai.


Guna Tiktok

Dua wakil rakyat Pulau Pinang menggsa PH negeri itu untuk lebih agresif dan giat dalam meningkatkan strategi propaganda dan komunikasi bagi melawan sentimen kaum dan agama yang dibangkitkan PN.

Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik mendakwa PN cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan dakwan golongan anti-Melayu, anti-Islam dan malah komunis akan mengawal Malaysia.

Muhammad Bakhtiar

Ini propaganda mereka. Jika anda dengar ceramah (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin, (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang atau Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, tiada apa selain mencetuskan ketakutan," katanya yang juga timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang kepada Malaysiakini.

Oleh itu, Bakhtiar menegaskan PH perlu menambah baik strategi komunikasi, terutama di platform seperti TikTok, untuk melawan naratif yang dibawa PN.

"Ketika saya masuk ke kampung semasa kempen, saya lihat golongan muda sentiasa menonton video TikTok di telefon mereka. Kita perlu kerja keras dalam hal ini.

"Tentulah kita tak boleh haramkan TikTok tetapi kita perlu mengawal kandungan di dalamnya, terutama yang menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu," katanya lagi.

Beberapa hari lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia sedang melihat langkah untuk mengukuhkan undang-undang sedia ada bagi menambah baik kawalan terhadap kandungan media sosial yang provokatif dan ekstrem, namun pada masa sama tidak menjejaskan prinsip kebebasan bersuara.

Katanya, ketika pertemuan dengan wakil TikTok, dia ditunjukkan data tentang berapa banyak video provokatif yang dipadam secara automatik oleh sistem media sosial tersebut ketika dan selepas PRU15.

Antara 12 hingga 18 November, TikTok telah memadam 857 video, sementara 1,126 video lagi dipadam antara 20 hingga 26 November.

Tambah baik publisiti

Sementara itu, Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil turut membidas PN kerana menurutnya telah mengapi-apikan sentimen kaum dan agama serta menyebarkan maklumat yang salah ketika kempen.

"Tuduhan komunis, ejen Israel dan sebagainya tidak diasaskan pada fakta dan lebih kepada persepsi bohong yang dibina.

Faiz Fadzil

"Kerajaan Pulau Pienang perlu ambil serius kempen sebegini jika mahu kekalkan majoriti besar di kerana sasaran kempen PN adalah DAP yang menjadi tunggak kepada kerajaan PH di negeri ini," katanya.

Dia menggesa PH Pulau Pinang untuk menambah baik jentera publisiti dan mencadangkan agar turut menggunakan video pendek untuk mempromosikan dasar dan tindakan, terutama untuk orang Melayu di negeri itu.

"Naratif politik pula perlu dibaiki dari sudut kandungan dan penyampaian.

"Perlu lebih ramai tokoh agama membuat penjelasan kepada rakyat tentang sentimen perkauman yang dimainkan itu adalah fitnah," katanya lagi.

Selain menarik sokongan pengundi muda, Faiz juga berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap penceramah agama yang membangkitkan sentimen kaum dan agama di Pulau Pinang.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo