NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

China perkukuh matawang yuan, guna untuk beli minyak Arab Saudi

RIYADH – Presiden China, Xi Jinping memberitahu para pemimpin negara-negara  Teluk Arab kelmarin bahawa Beijing akan berusaha membeli minyak dan gas dalam mata wang yuan sebagai cubaan untuk mengukuhkan peranan mata wang itu dalam pasaran tenaga global, lapor laman berita Wion News.

China berusaha untuk mencapai cita-citanya bagi mengukuhkan mata wang yuan di pasaran antarabangsa dengan sasaran utama adalah melemahkan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan dunia.

Jinping baru sahaja melengkapkan lawatan bersejarahnya ke Arab Saudi di mana kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Lawatan itu berlaku ketika hubungan antara Riyadh dan Washington rapuh dengan AS mendesak Arab Saudi berhubung isu-isu seperti hak asasi manusia, dasar tenaga dan Russia.

China dan negara pengeksport utama minyak, Arab Saudi, dilihat memberi isyarat jelas kepada Barat. 

Impak besar-besaran akan berlaku sekiranya negara seperti China dan Arab Saudi menolak penggunaan mata wang dolar AS terutamanya dalam perdagangan minyak.

Seorang sarjana residen kanan di Institut Negara Teluk Arab di Washington, Robert Mogielnicki berkata, kebimbangan mengenai sektor tenaga akan menjadi perkara utama dalam hubungan China-Arab Saudi.

“Beijing dan Riyadh akan berusaha untuk menyokong jaguh negara mereka dan pemain sektor swasta lain untuk bergerak ke hadapan dengan perjanjian perdagangan serta pelaburan.

“Kami melihat akan berlakunya lebih banyak kerjasama dalam sektor teknologi, yang juga bakal mencetuskan kebimbangan Washington,” katanya. – Agensi 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo