NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agong minta jelaskan lantikan sebagai PM untuk elak kekeliruan – Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan beliau supaya memberi penjelasan sebenar mengenai pelantikannya sebagai Perdana Menteri bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata, titah berkenaan dibuat Al Sultan Abdullah dalam satu pertemuan semalam yang antara lain meminta beliau menjelaskan soal pelantikan itu agar tidak timbul kekeliruan serta tidak menyinggung kedudukan Raja-raja Melayu.

“Saya sebutkan ini kerana semalam telah menghadap Agong, baginda katakan bahawa saya perlu menjelaskan perkara itu supaya tidak timbul kekeliruan terutama yang menyinggung kedudukan Majlis Raja-raja Melayu.

“Saudara kita boleh berbeza pendapat, malah dalam beberapa pertemuan saya dengan rakan-rakan, kekadang saya mohon ampun dan maaf dalam memberi pandangan yang agak peribadi.

PRINSIP

“Tetapi, kita tidak boleh langgar daripada prinsip adab dan akhlak serta menghormati kemuliaan Raja-raja Melayu kerana mereka mewakili satu institusi.

“Dalam keadaan tidak menentu baru-baru ini, peranan Raja-raja sangat utama dalam menyelamatkan keadaan,” katanya ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan diputuskan Majlis Raja-raja juga tidak pernah mengetepikan soal perlembagaan, kepentingan majoriti Melayu dan kedudukan Islam.

“Perlembagaan dibuat  bagi mengawal keadaan itu, sebab itu kalau ada orang pertikai, ia mesti dipertahankan, kalau tidak sistem berkenaan tidak boleh kekal.

“Saya memilih menjelaskan di sini kerana menganggap ini negara kita, terutamanya tentang hubungan orang Melayu dan Islam sangat penting, sebab itu saya memilih menjelaskan kali pertama daripada sudut hujah yang lebih jelas,” katanya.

Jelasnya, Al Sultan Abdullah turut berkenaan menerima pandangan beliau dan turut bertanyakan adakah saya yakin sebagai Perdana Menteri kerana jumlahnya sudah jelas selepas mendapat sokongan daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah serta beberapa parti lain.

“Saya jawab ini bukan soal peraturan dan undang-undang, patik mahu memimpin dengan mandat yang jelas dengan sokongan Parlimen. Patik yakin akan peroleh (sokongan Ahli Parlimen), andai kata tidak peroleh, patik akan tunduk kepada suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo