NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Empat bekas Ahli Parlimen Bersatu ‘selamat’ daripada tindakan undang-undang ?

KOTA KINABALU: Empat bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah disifatkan selamat daripada tindakan undang-undang dan tidak akan kehilangan kerusi.

Walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang Anti Lompat Parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan namun, kedudukan keempat-empat bekas ahli Parlimen Bersatu itu tidak akan terjejas.

Peguam Undang-Undang Perlembagaan Sabah, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, empat bekas ahli Parlimen Bersatu itu tidak melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan kerana kesemua mereka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Empat bekas ahli Parlimen Bersatu itu tidak akan kehilangan kerusi biarpun mereka keluar daripada parti.

“Ini kerana kesemua mereka bertanding atas tiket GRS pada PRU-15 dan bukannya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Di peringkat negeri Sabah pula, kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor masih berada dalam kedudukan kukuh dengan sokongan 57 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk sokongan ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Menurut beliau, keputusan 15 ADUN Bersatu Sabah keluar meninggalkan parti itu tidak akan menjejaskan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

“Pada masa ini, GRS dan Barisan Nasional (BN) mempunyai 46 ADUN dengan tambahan sokongan tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Malah tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan seorang ADUN Bebas turut menyatakan pendirian menyokong Kerajaan GRS-BN,” katanya.

Berdasarkan jumlah tersebut, secara keseluruhan Hajiji memperoleh sokongan 57 daripada 79 ADUN termasuk enam ADUN Dilantik.

Maka, Hajiji boleh memperoleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berdasarkan Perkara 6 (3) Perlembagaan Negeri Sabah.- UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo