NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Zahid harus segera lepas jawatan, UMNO sudah tenggelam' - Veteran UMNO


IPOH: Desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan berkenaan telah disuarakan lebih awal oleh Veteran UMNO Perak.
Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir berkata desakan itu pernah disuarakan pihaknya susulan situasi parti pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum ini sehingga membawa kepada keputusan Ahmad Zahid ‘bercuti’ daripada jawatan itu selama enam bulan pada 2019.
“Kami telah berulang kali meminta agar dikosongkan jawatan presiden itu dan beri kepada orang lain untuk menggantikannya. Kami yang sudah berusia ini sepatutnya tidak mahu bersuara sedemikian, akan tetapi ia terpaksa dibuat atas dasar sayangkan UMNO.
“Kami sedar kami sudah berusia, dan pada awalnya berpandangan biar sahaja ahli yang muda daripada kami menguruskan UMNO.
“Namun, apabila kita nampak UMNO seolah-olah susah mahu tenggelam, kita tidak boleh biarkannya. Bahkan ini pun kami rasa sudah tenggelam. Harap selepas ini (jika Ahmad Zahid lepaskan jawatan), UMNO boleh ‘timbul balik’ nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Veteran UMNO Perak yang menuntut Ahmad Zahid berundur sebagai presiden parti serta Pengerusi Barisan Nasional (BN), di sini pada Ahad.
Desakan itu dibuat susulan keputusan terburuk BN pada PRU15 apabila hanya mendapat 30 kerusi daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Malah, berdasarkan kepada keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dikatakan sebagai kerusi tradisi UMNO, tewas dan beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata berdasarkan kepada perlembagaan parti, sekiranya Ahmad Zahid mengosongkan kerusi Presiden UMNO, ia akan dipangku Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sehingga tiba pemilihan baharu.
Pada masa sama, dalam mendepani situasi ‘parlimen tergantung’ ketika ini, beliau mencadangkan agar BN dapat menjalinkan kerjasama dengan PN bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.
Malah katanya saranan sama turut disuarakan bagi pembentukan kerajaan campuran di Perak yang terdiri daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dan BN.
“Veteran UMNO Perak juga dengan tegas menyuarakan supaya kerajaan campuran yang bakal dibentuk hendaklah gabungan BN dengan PN. ‘No Anwar, No DAP’," jelas beliau.
Pada PRU15, BN hanya berjaya bertahan di sembilan kerusi daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang mana menyaksikan antara kerusi tradisi yang terlepas kepada PN seperti Bota dan Kampong Gajah.
PN juga hanya memenangi 26 kerusi sementara PH (24 kerusi) yang turut mengakibatkan tiada mana-mana gabungan dapat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Sumber I Astro Awani 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo