NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teka teki penubuhan kerajaan selepas parlimen tergantung


Ramalan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menghasilkan Parlimen tergantung benar-benar menjadi kenyataan.

Tidak ada gabungan politik yang menawarkan diri untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan dalam PRU tersebut yang memperoleh 112 kerusi yang diperlukan untuk berkuasa di Putrajaya.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) awal pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) memenangi 81 kerusi; Perikatan Nasional, 73 kerusi, Barisan Nasional (BN), 30 kerusi, Gabungan Politik Sarawak (GPS), 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi dan parti-parti lain, enam kerusi.

Sekiranya calon Perikatan Nasional (PN) di Sabah yang bertanding menggunakan logo GRS diambil kira, maka PN mempunyai 79 kerusi di Dewan Rakyat iaitu kekuatan yang hampir seimbang dengan PH yang memiliki 81 kerusi.

Mampukah PN membentuk kerajaan dengan parti-parti lain?

Oleh kerana Malaysia mengamalkan demokrasi bermodelkan ala-Westminster, yang kita warisi sewaktu negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka Parlimen Tergantung di Malaysia selepas PRU 15 pada 19 November 2022 adalah sama keadaannya dengan apa yang berlaku dalam House of Common di United Kingdom selepas pilihan raya umum pada 28 Februari 1974, 2010 dan 2017.

Dalam kes tahun 1974 seperti yang dicatatkan oleh Wikipidea, Parti Buruh pimpinan Harold Wilson mendapat 301 kerusi tetapi kekurangan 17 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Parti Konservatif pimpinan Edward Heath juga tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian.

Parti Konservatif yang mempunyai kerusi lebih sedikit kerusi berbanding Parti Buruh berunding untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Liberal, tetapi gagal mencapai kata sepakat.

Parti mana pula akan menyokong PH untuk membentuk kerajaan?

Akhirnya Parti Buruh diundang oleh Ratu England untuk menubuhkan apa yang dikenali sebagai kerajaan minoriti dalam House of Common.

Oleh kerana kerajaan tidak stabil, Parti Buruh membuat keputusan untuk mengadakan PRU pada bulan Oktober 1974 yang memberi kemenangan kepada Parti Buruh untuk berkuasa.

Pada tahun 2010, berikutan Parlimen Tergantung, Parti Konservatif di bawah pimpinan James Cameron telah menubuhkan kerajaan campuran dengan Parti Liberal pimpinan Nick Clegg.

Pada tahun 2017, Parti Konservatif pimpinan Teressa May tidak menubuhkan kerajaan campuran dengan mana-mana parti politik yang kecil, tetapi menubuhkan kerajaan minoriti yang disokong oleh Democratic Unionist Parti (UDP) dari Ireland Utara yang mempunyai 10 kerusi dalam House of Commons.

Ini dilakukan menerusi confidence and supply arrangment (CSA) antara kerajaan Parti Konservatif dengan UDP yang telah memberi kestabilan kepada kerajaan Konservatif untuk memerintah.

Gambar Hiasan - MOU antara kerajaan dan PH

Dalam konteks parlimen tergantung di Malaysia pasca PRU15, mekanisme yang sama juga boleh diguna pakai untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu iaitu sama ada berbentuk kerajaan campuran atau gabungan parti politik yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat menandatangani CSA dengan parti-parti politik yang lain.

Secara lebih spesifik, PH dan PN+GRS kerana masing-masing mempunyai kerusi yang hampir seimbang boleh mengusahakan sebuah kerajaan campuran dengan parti-parti lain yang turut memenangi kerusi.

Perlumbaan ke arah itu sudahpun bermula. Khabarnya Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara, sebaik sahaja dimaklumkan oleh SPR mengenai hasil PRU 15, telah mengutus warkah kepada Pegerusi PN Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk mengusahakan kerajaan campuran itu.

Dari segi teori, PH boleh membentuk kerajaan campuran itu dengan BN dan GPS, membolehkan ia menguasai 133 kerusi di Dewan Rakyat.

Gambar Hiasan - Penyokong GPS

Sekiranya yang membentuk kerajaan campuran Persekutuan itu adalah PN+GRS+BN+GPS maka kerajaan campuran PN dan lain-lain itu mempunyai 131 kerusi di Dewan Rakyat.

Kedua-dua kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada Malaysia untuk tempoh lima tahun Parlimen ke-15. Tidak perlu ada PRU 16.

Tetapi oleh kerana persamaan ideologi, adalah lebih mudah untuk PN menubuhkan kerajaan campuran dengan GPS dan BN.

Malah Bendahari Agung BN, Datuk Hishamuddin Hussein Onn, sebaik sahaja diumumkan menang di kerusi Parlimen Semberong sudahpun menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sentimen yang sama juga terdapat dalam kalangan para pemimpin BN yang lain.

PN juga sudah menegaskan bahawa gabungan parti-parti politik yang diterajui oleh Bersatu, PAS dan Gerakan itu juga tidak sudi untuk membentuk kerajaan dengan PH kerana di dalamnya terdapat DAP yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia.

Gambar Hiasan - Lim Guan Eng semasa mengundi

Perjuangan dan kepentingan PN, BN dan GPS dilihat tidak selari dengan gagasan tersebut sehingga ini.

Justeru PN+GRS, BN dan GPS berkemungkinan besar menubuhkan kerajaan campuran pada peringkat Persekutuan selepas PRU 15 ini.

Dalam kalangan mereka terdapat keserasian yang lebih baik dari segi ideologi dan kepentingan dalam menjaga kepentingan Melayu/Bumiputera, agama Islam tanpa menyisihkan kepentingan kaum lain di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.`

Jika itu halnya, maka PH pula berkemungkinan kekal sebagai blok pembangkang di Dewan Rakyat. Datuk Seri Anwar pula kekal sebagai ketuanya tetapi memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk memeriksa dan menyemak tindak tanduk cabang eksekutif negara.

Cuma mungkin beliau kena menunggu lima tahun lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar atau Muhyiddin - Siapa bakal jadi PM?

Tetapi seperti yang selalu dinyatakan dalam politik, apa juga boleh berlaku.

Bukankah politik selalu digambarkan sebagai seni yang memungkinkan yang tidak mungkin?


CHAMIL WARIYA
wartawan veteran dan pengerusi Malaysian Press Institute.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo