NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat terbuka buat Anwar Ibrahim : Kokok berderai, ekor bergelumang najis!

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Sulit sekali untuk tidak ingin mengambil tahu tentang sosok pencandu kuasa ini, telah puluhan tahun hidupnya obses dengan jawatan Perdana Menteri dan beliau masih tak melepaskan mimpi yang dipeluknya semenjak zaman pemuda. Anwar seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata dengan kata-kata retorik yang memukau. Jelajah Anwar ke Kelantan mencebik Tuan Guru Presiden PAS dan meremehkan pencapaian kerajaan PAS. Anwar tak menyinggung sama sekali Zahid Hamidi, membayangkan ada perancangan besar selepas PRU 15 yang telah menjadi rahsia umum jajaran baru.

Anwar dalam rangka jelajahnya ke Kelantan, memperkenalkan calon PH dan juga secara implisit memperkenalkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri, dia tetap tak berganjak!. Medsos menggelegak hangat samada mencebiknya atau mengangkat dirinya bak adiwira penyelamat negara, anak-anak muda yang baru kenal politik tak mengenali siapa mantan TPM yang dipecat Tun Mahathir 24 tahun lalu. Mandraguna kuasa adalah segalanya. Biar wabak kovid 19 terus menggila dan meratah warga dunia dan dia tak peduli apa orang kata tentang obsesinya tentang kuasa dan kerusi Perdana Menteri. 

Teringat semasa negara sedang terpanar dengan fenomena Anwar untuk kali ketiga, aku melakar aksara diatas kertas untuk menyokong Anwar untuk menang dalam PRK Permatang Pauh. PAS saat itu dalam hubungan pemuafakatan politik PR, Anwar menang dikubunya sendiri selepas belahan jiwanya mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan mudah kepada Bung Anwar. Ahh, bacaan mudah politik Anwar Ibrahim, jika tersembam malu di kerusi Parlimen Tambun maka adalah nanti kerusi MP PH  lain yang akan menjadi mangsa seterusnya. Episod Permatang Pauh, Port Dickson akan terus berlaku kerana Anwar adalah Anwar!.

Mantan pelajar MCKK, sebuah sekolah bergengsi yang ditubuhkan oleh penjajah British dengan nuansa melahirkan pegawai tadbir British dizaman kolonial. Seperti Eton School, sekolah anak bangsawan ini melahirkan ramai pimpinan negara termasuk kalangan pemimpin PAS hari ini seperti Dato' Iskandar Abdul Samad. Namun jangan merasa saudara seperti helang di udara, parti PAS yang diejek parti pak lebai dengan diikuti sorak sorai sinis pada PAS oleh khalayak dihadapan saudara itulah kini parti paling ramai disertai kelompok profesional muda Melayu. Ribuan yang berdoktrat dalam dan luar negera dengan pelbagai cabang dan bidang profesional, ribuan teknokrat yang mampu membangunkan negara ,juga negeri jajaran hijau yang bakal kami bentuk,insyaallah.

Anwar dalam jelajah PH beberapa kali menyerang PAS dan Presiden PAS, mantan MP Port Dickson ini terlupa saat beliau dihumban keluar daripada UMNO dan jawatan TPM, PAS menjadi tempat beliau menumpang kasih. Oktober 1998, Anwar demi memadam aib rela berdesut ke Bangi untuk menumpang nama baik almarhum Dr Haron Din. Almarhum Ustaz Fadhil Noor memberikan Anwar ruang untuk bernafas dalam kondisi hegemoni daulah sedang menekan beliau di pelbagai sudut. Penyokong reformasi bukan sekadar menyatakan bantahan awam dijalanan namun berhimpun di Markaz Tarbiah Taman Melewar mengunyah pelbagai isu kezaliman regim Mahathir terhadap sosok berjasa UMNO sejak 1982.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mengenali akal budi Anwar sejak aktivisme anak muda dalam ABIM, membantu serangan dasyat kepada Anwar dengan menulis buku bertemakan Qazaf. Anwar beruntong kerana PAS tegar memegang prinsip, kerana dasar harakatul ummah ini Islam maka Anwar mendapat pembelaan, diberi ruang untuk membela diri kepada massa. Parti yang ditubuhkan untuk membela Anwar, Parti Keadilan menumpang 90 peratus kekuatan PAS, premis PAS untuk mengadakan program penerangan, bahkan di Terengganu sendiri,wang deposit pilihanraya pun untuk calon Parti Keadilan disediakan oleh Badan Perhubungan PAS Terengganu!. Jangan lupa Bung Anwar, ketika maruah saudara dilunyaikan oleh hegemoni daulah maka PASlah yang membela maruah saudara.

Anwar dalam jelajah PH di Kelantan, cuba untuk membangkitkan isu air di Kelantan, kononnya kegagalan kerajaan PAS Kelantan menguruskan kebajikan rakyat. Anwar lupa bagaimana beliau pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1991 sehingga tahun 1998, apa peranan Anwar untuk membantu Kelantan? Anwar boleh memberikan bantuan ratusan juta kepada negeri Johor untuk menyediakan prasarana bekalan air bersih. Kelantan dianaktirikan sehinggalah kerajaan Pusat melalui Menteri KASA, DS Tuan Ibrahim Tuan Man telah memulakan projek pemulihan air bersih di Kelantan dengan nilai berbillion ringgit. Projek air bersih dengan nilai besar ini bukanlah mampu disiapkan sebulan dua, Anwar pun sangat memahami kondisi ini namun beliau cuba mensensasikan isu air demi meremehkan kerajaan PAS Kelantan.

Anwar, saya pasti berceramah dalam keadaan sedar, bukan selepas menghidu gam cap gajah!. Tak semena semena membangkitkan soal PAS dan perjudian, "Anthony Loke kadang lebih tegas daripada ustaz-ustaz PAS". PAS semenjak ditubuhkan lebih tujuh dekad lalu adalah gerakan Islam yang konsisten dalam menentang maksiat dan kemungkaran,dalam apa jua isu. Saat Anwar sedang di koridor kuasa bersama BN, PAS menjuarai segenap isu menentang hedonisme, pesta pora maksiat, Anwar menjulang Salman Rushdie ketika penulis itu menjulang nama tapi PAS mempertahankan kemuliaan Islam dan Rasulullah SAW. Anak-anak muda yang baru berjinak dengan usrah tidak kenal watak pragmatis Anwar di zaman berkuasa dahulu!.

Cabutan nombor dinaikkan adakah itu kesalahan kepada PAS? Jangan naif sangat Anwar, kamu tahu apa wewenang kuasa Menteri Kewangan. Bukankah ketika saudara menjadi Menteri Kewangan dahulu, taikun taikun industri judi berlegar dikeliling anda? Jangan cepat sangat lupa saudara. Lihat negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS, Kelantan, Terengganu, Kedah merupakan negeri yang mengharamkan semua bentuk perjudian dengan kuasa yang PAS miliki. Dalam kempen PRN Melaka, sosok penting Dap berkempen kepada masyarakat bukan Islam betapa bahayanya jika PAS mendapat kuasa. Jika PAS  berkuasa maka sukarlah untuk berjudi dan menikam nombor, apatah lagi jika diberi kuasa di peringkat persekutuan. 

Bagi penulis, Anwar telah hilang intergriti dan kelayakan sebagai jurubicara ummah. Dalam dekad 70-an saat memimpin anak-anak muda Islam, Anwar sanggup berdada dengan segala thaghut, membayar harga yang mahal termasuk sanggup diISAkan. Segalanya menjadi kenangan indah dekad kebangkitan Islam itu, apabila bersama regim BN mulai 1982 idealisme Anwar mula terkuras sedikit demi sedikit.

Keadaan makin parah di zaman kemaraan PH, saudara sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa, apa huhungan saudara Anwar dengan kuasa asing untuk mencampuri urusan dalam politik negara ini? Kerajaan yang memerintah mesti serius menyiasat pendanaan politik Pakatan Harapan yang berbelanja sangat mewah dalam Pilihanraya. Siasat juga aset Anwar, walaupun diistiharkan oleh beliau mempunyai belasan juta ringgit, Anwar cuba untuk merekayasa naratif gelap isu kereta mercedes kerajaan Kelantan. Ironinya kereta mewah Anwar siapa yang bekalkan? 

Anwar kehilangan puluhan teman-teman baiknya semenjak zaman muda kerana isu intergriti, bahkan pendokong-pendokong tegar reformasi seperti Tian Chua, Lokman Adam, Zahip Mat Arip,  ZulNordin, Stephen Young dan puluhan nama lain. Mengapa? Anwar pasti ada skrip jawabannya sendiri, termasuk untuk menjawab isu kronisme dan nepotisme dalam parti yang dikenderainya.

(Penulis adalah Pengerusi LESTARI, AJK PAS Pusat)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo