NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Ribut politik Perlis', Shahidan sah di Arau, di mana Zahidi?

Shahidan (kanan) sudah mengesahkan kedudukannya calon Perikatan Nasional di Arau, namun, sehingga kini, kedudukan Zahidi masih belum jelas lagi.

KANGAR: Pengguguran dua panglima perang UMNO Perlis yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Besar dan Arau iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Datuk Seri Shahidan Kassim daripada senarai nama calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan ‘ribut politik’ di negeri itu.
Meskipun Perlis merupakan negeri yang mempunyai Parlimen dengan bilangan terkecil di Malaysia iaitu hanya tiga Parlimen, rata-rata pemerhati politik melihat perkara berkenaan telah menambah rencah kehangatan sebelum hari penamaan calon, esok.
Selepas teka-teki membabitkan Shahidan berakhir dengan beliau diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam dua pengumuman berasingan iaitu di Perlis dan Terengganu, nasib yang dihadapi Zahidi pula dilihat sedikit berbeza dengan Ketua Bahagian UMNO Arau itu.
Ia selepas Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan tiada perbincangan bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu termasuk 'pelawaan' untuk menyertai parti berkenaan.
Namun, apa yang dinyatakan Zahidi agak berbeza memandangkan beliau semalam mengesahkan akan mempertahan kerusi Parlimen Padang Besar walaupun bukan atas tiket BN.
Beliau juga berkata, Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan yang menggantikannya sebagai calon BN di Padang Besar agak sukar menang kerana bukan pilihan akar umbi UMNO bahagian itu.
Desas-desus bertambah hangat apabila Zahidi telah menyatakan beliau enerima lamaran banyak pihak.
Paling menarik adalah Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilihat 'mengosongkan' kerusi itu dengan tidak menamakan mana-mana calon.
Berdasarkan situasi sekarang, sekurang-sekurangnya pertandingan empat penjuru akan berlaku di situ melibatkan PN-PAS, Pakatan Harapan-Amanah, Barisan Nasional, dan Parti Warisan.
Persoalannya, dimana dan platform manakah yang menjadi pilihan Zahidi?
Teka-teki itu hanya akan diketahui esok.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo