NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN


Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menjadi pimpinan terbaru PAS yang mendakwa Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Justeru Razman (atas), yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Gunong Semanggol, menyeru pengundi supaya tidak mengundi BN dan PH pada PRU kali ini.

"Yang paling teruk sekali - kalau kita bagi undi dia (BN) pakat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pakat DAP untuk bentuk kerajaan.

“Ingat - undi DAP, undi BN bererti undi beri kuasa kepada DAP untuk membolehkan dia buat apa saja," dakwanya.

Dia berkata demikian ketika menemui pengundi di pasar malam Tebuk Pancur petang tadi.

Pada Khamis lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang turut membuat tuduhan serupa terhadap PH dan BN.

Abdul Hadi mendakwa wujud muslihat antara Umno serta BN dan PH dengan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi kemenangan besar kepada PH.

Dakwa Abdul Hadi, strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU.

Agenda LGBT, komunis

Sementara itu, semasa program walkabout itu, Razman berulang kali memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengundi PH dan BN.

Dia mendakwa Anwar yang mengetuai PH membawa agenda LGBT ke negara ini, malah mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.

Selain itu dia juga mendakwa DAP membawa agenda komunis dan juteru umat Islam di negara ini tidak seharusnya mengundi mereka.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim ini kita tau dia nak bawa agenda LGBT ke dalam negara - lelaki kahwin lelaki, perempuan kahwin perempuan.

“Kedua - DAP bawa agenda komunis, abu Chin Peng mati di China dia pun mai bawak balik, masa tu juga bendera terbalik, masa tu juga ada perarakan pengisytiharan komunis Malaysia,” dakwanya.

Untuk rekod, Chin Peng yang merupakan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada 2013.

Justeru kata Razman, langkah paling selamat adalah mengundi PAS dan PN kerana melalui pentadbiran parti Islam itu di Kelantan sejak 1990, terbukti tidak ada satu pun kes rasuah di negeri itu.

“Kalau tuan-tuan undi lagi BN, bererti undi kepada mereka yang nak bebaskan diri dari kes mahkamah dan membolehkan diri rasuah.

“Kalau undi PH bererti tuan-tuan sokong DAP,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo