NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin: Standard integriti BN, PH rendah berbanding PN


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyelar Pakatan Harapan (PH) dan BN dengan mendakwa kedua-dua gabungan itu mempunyai standard integriti yang lebih rendah daripada gabungan yang diterajuinya.

Dia berkata semua calon PN ditapis dengan ketat dan individu yang mempunyai kes jenayah, disiasat SPRM atau mempunyai kes rasuah di mahkamah tidak akan dibenarkan bertanding.

"BN dan PH mungkin mempunyai standard atau benchmark yang lebih rendah daripada PN dalam isu integriti.

"Sebab itu orang yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah pun dibenarkan bertanding dalam pilihan raya,” katanya ketika merasmikan manifesto PN di Shah Alam, Selangor malam ini.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Muhyiddin dipercayai merujuk kepada calon BN dan PH yang mempunyai kes di mahkamah seperti Ahmad Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semasa sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata walaupun calon BN berikrar tidak akan melakukan rasuah, namun mereka yang mengangkat sumpah adalah terdiri daripada mereka yang korup.

Muhyiddin mengaitkan BN dengan "kluster mahkamah" - merujuk kepada sekumpulan pemimpin gabungan itu yang dibicarakan kerana kes rasuah.

Selain Zahid, pemimpin BN yang masih dibicarakan di mahkamah ialah Bung Moktar Radin, Mohd Isa Abdul Samad, Shahrir Samad, dan Najib Razak.

Zahid dan Bung masing-masing bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Zahid - yang mempertahankan kerusi Bagan Datuk - dibicarakan atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Bung - yang mempertahankan kerusi parlimen Kinabatangan - dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Di pihak PH pula, Muhyiddin berkata terdapat kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Pulau Pinang yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Ini merujuk kepada Lim yang mempertahankan kerusi parlimen Bagan, di mana dia dibicarakan atas tuduhan rasuah melibatkan projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Syed Saddiq yang merupakan presiden Muda pula sedang menghadapi perbicaraan kes pecah amanah melibatkan RM1.12 juta dana Bersatu yang pernah disertainya.

Pada PRU kali ini, Syed Saddiq mempertahankan kerusi parlimen Muar.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin malam ini mengumumkan bahawa jika PN menang PRU15, gabungan itu akan menubuhkan mahkamah khas untuk menangani kes rasuah.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo