NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis Kedah beri tumpuan lima kawasan panas

Wan Hassan berkata, seramai 2,443 pegawai dan anggota digerakkan untuk penugasan di semua tempat penamaan calon di 15 Parlimen. - Astro AWANI

ALOR SETAR: Polis Kedah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima kawasan berstatus ‘hotspot’ di negeri ini pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung 5 November ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kawasan Parlimen Kota Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Baling telah dikenal pasti sebagai lokasi panas berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU14 lalu.
Menurutnya, kawasan itu dikesan menerusi risikan dan maklumat pihaknya, yang menjangkakan bahawa tempat-tempat berkenaan akan berlaku situasi tidak diingini.
Untuk itu Wan Hassan berkata, seramai 2,443 pegawai dan anggota digerakkan untuk penugasan di semua tempat penamaan calon di 15 Parlimen.
Polis Kontinjen Kedah turut mendapat bantuan daripada Unit Public Order Riot Unit (PORU) PGA Batalion 2 Kulim, Unit Light Strike Force (LSF) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.
Katanya, anggota turut ditempatkan dalam kumpulan penyokong semua parti bagi menangkap individu yang mencetus provokasi dan kekacauan.
"Di kawasan pentadbiran daerah Baling dikenal pasti ada satu, dua di Kota Setar dan ada sedikit di kawasan Langkawi pun ada... dan di kawasan Kubang Pasu dan juga Kuala Muda, tetapi kapasitinya agak berbeza-beza," jelas Wan Hassan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Simulasi Ketenteraman Awam sebagai persediaan menghadapi tempoh PRU15 di hadapan Kompleks Belia Alor Setar, hari ini.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, PDRM Kedah di peringkat daerah dan kontinjen telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR.
Beliau memaklumkan, pihak polis juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU15 bagi mengingatkan mereka tentang peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen.
"Parti-parti yang terlibat ataupun semua mereka yang terlibat dalam mengharungi proses domokrasi ini diingatkan supaya tidak membuat provokasi antara satu sama lain yang boleh mendatangkan kemarahan kegusaran dan sebagainya.
"Kalau hendak buat ceramah sekalipun jangan berdekatan... berjauhan sedikit dan ceramah hendaklah dipohon permit insya-Allah kita (PDRM) akan keluarkan permit bagi yang menggunakan pembesar suara di luar kawasan dan sebagainya," jelasnya.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo