NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengurangan subsidi: Jika tidak hati-hati, inflasi mungkin meningkat ke 11 peratus - Penganalisis Ekonomi


KUALA LUMPUR:
Kerajaan diminta untuk berhati-hati dalam langkah pengurangan jumlah subsidi yang dibelanjakan, kerana ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan terhadap kadar inflasi secara mendadak, kata Penganalisis Ekonomi, Prof Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, sekiranya tindakan itu dilakukan, berkemungkinan besar ia akan meningkatkan kadar inflasi sehingga 11 peratus, berbanding 3 peratus pada masa kini.

Barjoyai berkata, antara langkah terbaik yang boleh difikirkan ialah menyelaraskan semula pemberian subsidi bagi barangan tertentu, dan pastikan ia benar-benar pergi ke golongan bersasar.

“Kalau dikurangkan, kita akan lihat kadar inflasi kita meningkat terus sehingga lebih kurang 11 peratus, daripada kurang daripada tiga peratus pada masa sekarang. Ini akan menurunkan pendapatan benar semua pekerja, dan akan menyebabkan kesan yang semakin serius.

“Jadi kita mungkin tangguhkan dulu tentang (pengurangan) subsidi barangan, tapi boleh fikirkan tentang bagaimana selaraskan semula subsidi minyak misalnya, bagaimana kita belanjakan RM35 bilion untuk petrol dan diesel, kalau boleh sasarkan kepada kumpulan memerlukan, supaya tidak akan jejaskan inflasi,” katanya kepada Astro AWANI.

Barjoyai berkata, pemberian subsidi harus diteruskan untuk barangan seperti minyak masak, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan, supaya ia terus bertindak sebagai pelindung kepada kesan inflasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal hari ini memberi tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Menurutnya, kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan menurut beliau, ia perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di sini pada Ahad, Anwar memberi jaminan subsidi masih akan diberikan kepada rakyat namun beliau mahu ia lebih bersasar.

Dalam pada itu Barjoyai berkata, beliau melihat banyak pendebatan dan perbincangan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu dikembalikan, sebagai salah satu cara meningkatkan pendapatan kerajaan.

Katanya lagi, beliau lebih cenderung untuk melihat usaha kerajaan menyelaraskan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) supaya ia menghampiri bentuk GST.

Bagi meningkatkan pendapatan kerajaan, Barjoyai berkata, langkah mewujudkan skim nombor pengenalan dan e-invois seperti dalam Bajet 2023 membolehkan aktiviti pembayaran cukai yang lebih berkesan.







........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo