NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS diserang kerana reputasi, PH tutup kepincangan sendiri


KUALA LUMPUR
: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melakukan serangan tuduhan terhadap pimpinan PAS kerana perkembangan positif diraih PAS ketika ini selain menutup isu dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Peguam, Mardhiyyah Johari berpandangan, Rafizi begitu terdesak hingga menjadikan fitnah sebagai strateginya untuk menghilangkan kepercayaan kepada PAS yang merupakan sebahagian komponen PERIKATAN NASIONAL (PN).

Menurut beliau, bermula dengan ramalan bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Abdul Daim Zainuddin bahawa PAS akan mendapat lebih banyak kerusi pada PRU15 dan terbaharu kajian Merdeka Centre mengenai peningkatan sokongan Melayu kepada PN.

“Sebagaimana diketahui ramai, ramalan Tun Daim bagi keputusan PRU12, PRU13 dan PRU14 hampir-hampir menepati. Kajian MC kepada PH pula sokongan Melayu tinggal 13 peratus sahaja.

“Jadi kita memahami, betapa terdesaknya Rafizi. Dalam masa sama dia mahu orang hilang fokus dan berhenti bercakap mengenai masalah lebih serius melibatkan (skandal) dirinya.

“Juga (masalah) calon-calon daripada PH dan konflik yang melanda PH. Jadi kita nak beritahu Rafizi sebelum tuduh Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, ingat masalah dan konflik melanda PH,” ujarnya melontar amaran.

Beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya lima isu sedang dihadapi figura dalam PH antaranya Rafizi sendiri berhubung dana dikutip daripada orang ramai, sumber dan juga perbelanjaan atau penggunaan wang tersebut.

“Pertama, terdapat desakan untuk siasat Rafizi dan Invoke berkenaan dakwaan salah guna dana awam bernilai jutaan ringgit. (Tambahan pula) Baru-baru ni Rafizi isytihar harta, kekayaannya hampir RM19 juta.

“Amboi hangpa kalau ustaz-ustaz minta derma, hangpa suruh audit. Rafizi kutip derma, hangpa tak mahu tanya pi mana?” bidas beliau.

Kedua katanya, mengenai calon PH, Yeo Bee Yin yang bertanding di Puchong di mana menimbulkan kerisauan ‘konflik kepentingan’ memandangkan suami dan keluarga suaminya ada kepentingan perniagaan di tempat bertanding. 

“Suami dia adalah CEO IOI Properties Group Berhad. Yang ketiga calon PH di Muar, Syed Saddiq (Abd Rahman) yang mahkamah dapati ada prima facie bagi kes melibatkan RM1.12 juta iaitu kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

“Yang keempat calon PH di Tampin, Faiz Fadzil yang didakwa mencabul seorang wanita dan kes masih belum selesai dan kelima adalah konflik dalaman PH apabila kerusi PAN di Jerai, Kedah diambil DAP. 

“Di Changkat Jong, Perak juga diambil oleh DAP. Bahkan kerusi PAN di Tanjung Piai diambil oleh MUDA. Itu adalah perkara-perkara yang Rafizi tak mahu kita sembang, dia nak kita sembang fasal Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,” ujarnya.

Pekerja Sektor Minyak dan Gas (O&G), Mohd Nasir Abdullah juga menyangkal permainan isu ditimbulkan pihak PH ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah untuk menutup isu-isu yang berlegar ke atas pimpinan mereka.

Antaranya membabitkan penglibatan pimpinan mereka dengan ejen asing, kumpulan subversif serta menutup pelbagai kelemahan dan penipuan mereka yang semakin terdedah kepada orang ramai sepanjang kempen PRU15 ini.

Beliau yang bertugas di negara Qatar melihat rakyat Malaysia semakin waras mengenali pembohongan dan fitnah dilemparkan PH, selain kegagalan prestasi koalisi tersebut sepanjang 22 bulan menjadi Kerajaan Persekutuan dahulu.

Pendedahan-pendedahan PH juga ujar beliau, banyak yang memakan diri dan mendedahkan hakikat bahawa mereka dangkal serta tidak memahami proses atau prosedur berkaitan isu-isu dibangkitkan. – HARAKAHDAILY 13/11/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo