NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Harapan, BN berunding bentuk kerajaan?


BARISAN Nasional (BN) yang terpukul dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedang berunding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk sebuah kerajaan sebelum 2 petang ini biarpun beberapa ahli parlimennya lebih condong kepada Perikatan Nasional (PN) yang dikuasai PAS.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang didesak untuk letak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi terburuk BN dalam pilihan raya pada Sabtu, dijadual bertemu Pengerusi PH Anwar Ibrahim 10 pagi ini di Kuala Lumpur.

“Ada persefahaman, Zahid sebagai ketua blok BN mempunyai kuasa untuk berunding,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insight.

BN hanya menang 30 kerusi, jauh di belakang PH yang mempunyai 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Keputusan ini menjadikan tiada mana-mana gabungan mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk kerajaan biarpun lebih 15 juta pengundi keluar mengundi pada Sabtu.

Jumlah ahli Parlimen BN dan PH cukup untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Beliau menimbangkan masa depan jangka panjang Umno dan BN. Bersama dengan PN bermakna jadi pemain ketiga selepas dua parti Melayu – PAS dan Bersatu. Kalau bersama PH, Umno masih berpengaruh di kawasan luar bandar,” kata satu lagi sumber.

Bekas pengerusi BN Najib Razak yang kini merengkuk di penjara menghantar mesej supaya gabungan itu mengimbangi kepentingan jangka panjangnya dalam menentukan gabungan pilihan untuk membentuk kerajaan.

Sumber lain berkata ahli Parlimen BN sedia menyertai PH dan Gabungan Parti Sarawak kerana dijanjikan jawatan utama. Mereka juga selesa dengan Bersatu dan PAS, yang menjadi tulang belakang PN.

Bersama dengan PN bermakna Umno jadi pemain ketiga selepas dua parti Melayu – PAS dan Bersatu, kata sumber. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 November, 2022.
Bersama dengan PN bermakna Umno jadi pemain ketiga selepas dua parti Melayu – PAS dan Bersatu, kata sumber. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 November, 2022.

Rundingan dengan PN ini mengulangi episod pada awal 2020 ketika BN menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata sumber.

“Kita boleh panggil ini ‘scheme of things 2.0’ dengan sebuah Kabinet yang besar untuk puaskan hati semua pihak cumanya kali ini PAS yang dominan,” kata seorang pemimpin parti yang maklum dengan rundingan bersama kedua-dua pihak.

Ahli Parlimen BN yang mendapat jawatan utama dalam kerajaan PN sebelum ini, termasuk Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang kemudian jadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, serta Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Biarpun tidak mendedahkan tentang rundingan dan langkah Zahid, komponen BN MCA secara terbuka mendesak Zahid berundur. Desakan itu dilihat satu tekanan untuk bersama PN.

Difahamkan sesetengah ahli Parlimen BN bimbang akan diketepikan daripada jawatan utama namun seorang sumber PH memberi jaminan akan ada fleksibiliti.

“Yang paling penting ialah untuk bentuk sebuah kerajaan yang mewakili undi rakyat dan Malaysia,” katanya.

Sumber menjelaskan tempoh akhir 2 petang ialah untuk blok gabungan menyatakan pilihan perdana menteri mereka. Ini tidak akan merujuk akuan bersumpah peribadi ahli Parlimen untuk menentukan sokongan kepada perdana menteri.

Muhyiddin sebelum ini berkata PN sedang berunding dengan GPS, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sementara GPS pada masa sama berkata BN terlibat dalam rundingan.

Namun Zahid dengan tegas menafikan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak. Beliau juga memberi amaran semua ahli Parlimen sudah memberi mandat kepadanya untuk membuat keputusan.

“Kita akan tahu menjelang 2 petang ini siapa yang cukup angka untuk bentuk kerajaan,” kata seorang pimpinan kanan PH. – 21 November, 2022.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo