NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Johor desak Zahid letak jawatan presiden Umno


Susulan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum ke-15, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menggesa supaya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan segera, seperti yang dilakukan oleh Najib Razak pada PRU14.

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak Umno. Umno telah rebah.

“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.

“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn berkata, BN perlu kembali mendengar suara rakyat yang diterjemahkan melalui undi mereka semalam.

“Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya.

Pada PRU15 semalam, BN hanya menang 30 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan

Di Johor BN hanya memenangi sembilan kerusi parlimen - Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo