NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

369 calon hilang wang deposit termasuk Dr M, Mukhriz


Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang bertanding di Langkawi atas tiket Pejuang gagal mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kedua apabila hanya memperoleh sebanyak 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertandingan melibatkan lima penjuru.

Selain Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), antara pemimpin kanan Pejuang turut hilang wang pertaruhan adalah anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Abd Ghani Ahmad manakala Timbalan Pengerusi GTA Datuk Marzuki Yahya gagal merampas kerusi Sungai Petani daripada Pakatan Harapan (PH).

Pilihan raya paling getir ini juga turut menyaksikan beberapa ‘nama besar’ lain kehilangan wang deposit mereka antaranya bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin apabila hanya meraih 4,589 undi dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (1,939 undi).

Selain nama besar pemimpin dan parti, antara calon selebriti dan aktivis sosial hilang wang pertaruhan adalah pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili GTA dan calon Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah.

Sementara itu, jumlah calon paling banyak kehilangan wang deposit dalam satu kawasan Parlimen adalah kerusi tumpuan di Parlimen Batu apabila lapan daripada 10 calon bertanding hilang wang pertaruhan.

Mereka adalah calon Bebas Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau juga dikenali Cleopatra, Chua Tian Chang (Tian Chua), Too Cheng Huat; Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) dan Datuk A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional).

PRU kali ini juga menyaksikan calon PH Gobind Singh Deo memperoleh jumlah undi tertinggi 142,875 untuk kerusi Parlimen Damansara mengalahkan dua pencabar yang kesemuanya kehilangan wang pertaruhan.

Sementara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Angau Anak Gingkoi menang dengan majoriti terkecil hanya 100 undi apabila mendapat 6,644 undi dalam pertarungan empat penjuru menyaksikan seorang calon hilang deposit.

Bagaimanapun, 369 calon ini tidak melibatkan dua kerusi iaitu Kota Marudu, Sabah yang tidak dapat diumumkan kerana masalah cuaca manakala Baram, Sarawak disebabkan proses pengundian di 11 pusat mengundi digantung ekoran keadaan cuaca tidak baik.

Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan sebanyak 129 daripada 441 calon yang bertanding dalam tiga pilihan raya negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak hilang wang deposit.

Bagi membolehkan mereka bertanding, calon perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

- Bernama




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo