NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kempen calon PRU15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir


PRU15 | Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam. 

Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.

Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

Wakil calon PN di Kapar pula memaklumkan media bahawa aktiviti Dr Halimah ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyantuni mangsa banjir di Meru. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja, turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

Semalam, calon BN di Parlimen Kota Raja D. Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. 

- Bernama


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo