NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hishamuddin kemukakan contoh wujudnya ketidaksefahaman antara Anwar dan Rafizi

Sebanyak mana Anwar dan Rafizi menafikan mereka bersefahaman, tapi tindak tanduk mereka jelas sangat berlawanan. Tindakan yang jelas akan merugikan negara selepas PRU15 nanti. 

Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli perlu menjawab isu dibangkitkan terlebih dahulu sebelum mendakwa mereka berdua tidak ada masalah persefahaman, kata Bendahari Barisan Nasional (BN), Hishammuddin Hussein.

Dia berkata, banyak perkara tidak dijawab pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, termasuk membabitkan keputusan tidak mencalonkan penyandang kerusi parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

"Macam mana tak berlaku, dia (Anwar) belum jawab lagi dari segi 80 kerusi yang Rafizi kata parti dia akan menang, dia (Anwar) kata 100.

"Baru-baru ini, Rafizi kata dia akan menang 15 kerusi (parlimen) di Johor, saya tak dengar pula jawapan Anwar dan sebelum ini Rafizi kata Sivarasa paling layak untuk bertahan kerusi di Sungai Buloh, Anwar tak setuju.

"Sebelum ini kita tengok Anwar kata Tian Chua perlu dipecat, Rafizi pula tak setuju, jadi apa yang dia orang kata ini ada persefahaman antara mereka berdua, jawablah isu tiga empat itu," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang, petang tadi.

Terdahulu, Hishammuddin meluangkan masa bersama calon BN bagi kerusi parlimen Kuantan, Abdul Hamid Nazahar dan calon kerusi dewan undangan negeri (DUN) Teruntum, Tanjung Lumpur dan Inderapura.

Isnin lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata, pemimpin tertinggi PKR itu perlu mencari kata sepakat terlebih dahulu sebelum membuat unjuran kerusi bakal dimenangi mereka dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, perbezaan jangkaan dibuat Anwar dan Rafizi membayangkan wujud suasana tanpa persefahaman antara mereka berdua.

Rafizi pada Selasa lalu dalam program Sembang Santai di Tebrau, Johor menafikan dakwaan Hishammuddin itu.

"Saya dari awal konsisten kata buat masa sekarang iaitu hari keempat berkempen, kita sebenarnya sudah berada dalam keadaan baik dan boleh menang 80 kerusi.

“Tetapi dalam dua minggu akan datang, jika kempen dijalankan lebih baik lebih, lebih ramai orang kita jumpa, kita boleh menang sampai 90 ke 100 kerusi. Jadi betullah Anwar kata kita (PH) boleh menang 100 kerusi,” kata Rafizi.

Semalam, Anwar turut menafikan dakwaan itu dan memaklumkan perbezaan pandangan mengenai jangkaan kerusi boleh dimenangi PH tidak bermaksud berlaku perselisihan dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata Anwar, perbezaan itu hanyalah untuk melonjakkan semangat ahli parti untuk bekerja lebih keras.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya dia dibenarkan berkempen di kem tentera berkata perkara itu adalah satu fitnah.

"(Ia) fitnah kerana saya dah turun (berkempen) selain dari kawasan saya sendiri di Sembrong, saya dah turun ke kawasan di Johor dan hari ini saya turun ke Pahang, tak ada sekali pun saya masuk kem tentera kita," katanya.

Pagi tadi, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengeluarkan kenyataan media menafikan kenyataan tular di media sosial kononnya Panglima Tentera Darat (PTD) (Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain) membenarkan Menteri Kanan Pertahanan (Hishammuddin) untuk berkempen di mana-mana kem tentera darat.

TDM menjelaskan kenyataan PTD telah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan dan berupaya menjejaskan imejnya.

“Dalam artikel bertarikh 6 Nov 22, memetik kenyataan ‘Anggota Tentera Diingat Tidak Terbabit Secara Langsung Kempen PRU15’ telah dimanipulasi dengan kenyataan berikut: ‘Tetapi saya benarkan mantan menteri pertahanan masuk berkempen di dalam mana-mana kem tentera darat dia bertanding’.

"Kenyataan ini telah tersebar di aplikasi WhatsApp, adalah tidak wajar kerana disifatkan menyebarkan fake news (berita palsu).

"TDM memandang serius isu ini dan menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan dilihat mempunyai unsur tidak baik oleh pihak yang terbabit,” menurut kenyataan itu.

Sumber | Mkini

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo