NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kait PAS dan ‘Afghanistan’ untuk tutup kaitan DAP-Komunis

KUALA LUMPUR: DAP yang mengaitkan PAS dengan ‘Afghanistan’ untuk mengulangi naratif radikalisme tidak pernah membuktikan perlakuan mana-mana ahli mahupun pimpinan PAS melakukan melakukan pemberontakan jenayah.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, terbukti PAS tidak ada hubung kait dengan kegiatan keganasan sebagaimana pembabitan pihak DAP yang secara terang ada mengangkat perjuangan Komunis.

Malah ujarnya, ada pemimpin DAP yang agresif dan radikal begitu berbangga-bangga memperkenalkan diri berketurunan datuk moyang daripada kalangan penggerak kegiatan Komunis di negara ini satu ketika dahulu.

“Mereka sanggup bawa abu mayat Chin Peng balik (ke Malaysia), mengadakan majlis memperingati Komunis kononnya sebagai pejuang di Tanah Melayu dan mengangkat Komunis untuk dikatakan sebagai sebahagian pejuang Kemerdekaan.

“Ini merupakan satu pembohongan manipulasi kepada sejarah. Hakikatnya Komunis telah membunuh ramai anggota pertahanan keselamatan Tanah Melayu ini ketika zaman 60-an, 70-an atau sebelum itu lagi. 

“Komunis telah menembak mati ramai pejuang-pejuang pasukan keselamatan tanah air dalam kalangan polis, tentera yang mereka lakukan dengan secara subversif,” bidas beliau yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Oleh itu tegasnya, jangan DAP menafikan mereka pro-Komunis dengan cuba menuding jari kepada PAS kononnya pro-Taliban yang bersifat agresif atau tuduhan seumpama tanpa bukti dan telahpun tidak terbukti.

Jelas beliau, PAS memperjuangkan tuntutan yang diminta atau disuruh oleh Allah SWT dengan mengangkat al-Quran serta hukum-hukumnya menerusi pentadbiran pemerintahan mahupun kehidupan rutin harian.

“Iaitu cara bagaimana seseorang manusia ini perlu menjadi seorang yang baik kepada semua umat, bukan sahaja kepada Allah Taala. Sebagai hamba Allah, tetapi perlulah berlaku bersikap adil kepada semua manusia tanpa mengambil kira latar belakang politik dan juga bangsa,” terangnya.

Kerana itulah PAS di Pulau Pinang katanya, meletakkan calon bukan-Muslim daripada keturunan Tionghoa Cina di Parlimen Bukit Mertajam iaitu Steven Koh, seorang yang terbuka dan rasional dalam memastikan keharmonian semua kaum itu dipelihara.

“Beliau dapat bercampur dengan semua kaum. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Tamil, sudah tentulah bahasa Cina. Tetapi yang paling mengagumkan boleh berpantun dalam bahasa Melayu dengan fasih, cubalah berbalas pantun dengan dia. 

“Dia boleh membalas dengan segera pantun berkenaan. Dengan (Tan Sri) Tok Guru (Abdul Hadi Awang – Presiden PAS) pun dia ada berbalas pantun. Maka kita PAS menonjolkan calon bukan Islam ini adalah untuk membuktikan PAS tidak rasis. 

“Maka tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh DAP mengaitkan PAS dengan radikalisme adalah satu tuduhan palsu, satu fitnah. Manakala DAP itu ternyata jelas dengan bukti-bukti yang ada mengangkat Komunis.

“Begitu yang disebut juga oleh Tuan Guru, Presiden kita mempunyai bukti sahih yang dalam DAP ini ada yang tidak mempercayai wujudnya tuhan, mereka bersifat free thinker dan juga mereka tidak boleh menerima apa agama sekalipun.

“Mereka anggap agama sebagai suatu yang tidak betul dan agama itu sebagai satu pembohongan dan tuhan itu tidak wujud. Ini sifat yang ada kepada bangsa yang pro-Komunis yang berada di dalam DAP,” bidasnya. – HARAKAHDAILY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo