NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Juwai IQI: Kestabilan makroekonomi penting untuk negara


KUALA LUMPUR, 14 Nov  (Bernama) -- Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed telah berkongsi pandangannya mengenai ekonomi negara selepas COVID-19, proses pemulihan dan perkembangan politik semasa.

Di bawah adalah petikan daripada soal jawab (Q & A) bersama beliau.

Soalan: Anda mempunyai perspektif global dan kepakaran yang kukuh mengenai makroekonomi global. Huraikan analisis anda tentang prestasi kerajaan dari September/Oktober 2021. Apakah pemboleh ubah utama bagi Malaysia untuk mencapai pemulihan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua mencecah 8.9 peratus tahun ini daripada kadar pertumbuhan rendah sebanyak 3.1 peratus pada 2021?

Jawapan: Baiklah, dari segi pertumbuhan ekonomi, kestabilan makroekonomi dan mengekalkan keyakinan ekonomi dalam negara, (bagi) pelabur global seperti kami (Juwai IQI) dan ramai lagi, (kami) melihat kestabilan ekonomi makro sebagai pemboleh ubah yang paling penting, sama seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan (Perdana Menteri sementara atau 'caretaker') Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau telah mengekalkan kestabilan makroekonomi.

Pertama ialah dasar yang konsisten, iaitu sama pentingnya untuk memastikan pertumbuhan yang terancang. Anda lihat Eropah dan United Kingdom (yang mengubah dasar dalam beberapa hari selepas pengumuman). Dasar yang tidak konsisten seumpama itu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Justeru, pelabur lebih suka individu yang memahami ekonomi, individu berpengalaman yang boleh memacu ekonomi dengan cara yang lebih profesional.

Apa yang kerajaan telah capai setakat separuh pertama tahun ini - KDNK Malaysia adalah 6.95 peratus, 5.0 peratus pada suku pertama, 8.9 peratus pada suku kedua, jadi, purata pertumbuhan KDNK pada separuh pertama adalah 6.95 peratus.

Malaysia berada di kedudukan kedua dalam ASEAN, mendahului Singapura dan Indonesia serta ekonomi-ekonomi lain dari segi bagaimana kerajaan mengendalikan (negara)  - apa yang kita lihat sejak September lalu. Setakat hari ini, tumpuan utama adalah untuk memastikan penduduk mendapat vaksinasi, jadi, 98.99 peratus daripada populasi telahpun divaksin.

Sebab itu kerajaan boleh membuka ekonomi mendahului jiran (negara) yang di utara dan selatan. Yang lain sedang bergelut tetapi Malaysia adalah yang pertama membuka ekonominya, memberikannya rangsangan, sekali gus turut memberi isyarat positif kepada pelabur global bahawa Malaysia telah bersedia untuk kembali menjalankan perniagaan.

Kedua, infrastruktur mempunyai hubung kait yang kuat dengan pertumbuhan KDNK. Maka, apabila anda mempunyai infrastruktur yang stabil, anda mempunyai pertumbuhan KDNK yang kukuh dan inilah yang kami saksikan.

Elemen ketiga ialah teknologi dan kerajaan turut memberi tumpuan kepadanya.

 

Soalan : Bagaimanakah anda menjelaskan strategi ekonomi kerajaan semasa, dengan mengambil kira risiko geopolitik seperti konflik antara Ukraine dan Rusia serta kemelesetan global dalam ekonomi maju. Adakah kerajaan Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi pergolakan ekonomi global? 

 

Jawapan : Mereka telah melakukannya dengan cukup baik. Mereka telah mengharungi/mengemudi pergolakan ekonomi - seperti yang anda tahu, ekonomi global berada di ambang kemelesetan besar-besaran dan sistem turut terkesan (cracking up).

Sebagai contoh, harga minyak dan harga arang batu meningkat manakala pasaran bon dan ekuiti juga terjejas teruk. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh kerajaan telah memberi keyakinan kepada pelabur tempatan. Apabila anda mempunyai keyakinan terhadap pelabur tempatan, maka, dari situlah munculnya pelaburan langsung asing (FDI).

Misalnya, jumlah dagangan telah mencecah RM257 bilion, meningkat 31 peratus setakat ini. Jadi itu jelas menggambarkan kerajaan telah dapat mengekalkan kestabilan makroekonomi dan telah memberi keyakinan ekonomi kepada pelabur tempatan, sekali gus mendorong kemasukan FDI ke negara ini.

Disember lepas, Intel membuat pelaburan terbesar di rantau ASEAN sebanyak US$7.5 bilion (RM30 bilion) dan mereka akan datang ke Malaysia. Ini memberikan isyarat positif bukan sahaja kepada rantau ini tetapi juga kepada pelabur global bahawa Malaysia semakin berkembang. Dan itulah sebabnya ramai pelabur berpindah ke Malaysia.

 

Soalan: Angka bagi perniagaan dan perdagangan untuk 2022 masih meningkat dengan jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit pada September 2022, mencecah RM256.9 bilion manakala FDI mencapai paras tertinggi sepanjang masa berjumlah RM41.7 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM48.1 bilion pada 2021. Apakah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah perdagangan dan angka FDI?

 

Jawapan: Kerajaan cukup fokus. Ia telah menjadi agak proaktif apabila semua orang mengkritiknya  tahun lepas dengan mengatakan ia tidak berjaya dari segi COVID-19 tetapi anda perlu mengambil kira bahawa tiada siapa yang mempunyai "a perfect playbook", cara untuk menangani COVID-19.

Semua orang melakukan "trial and error", tetapi saya memberi kredit penuh kepada Perdana Menteri Ismail Sabri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Jadi, itu memberi banyak keyakinan - (kepada saya)  warga asing yang menetap di negara ini lebih 10 tahun. Saya mendapat vaksin dan saya rasa lebih selamat dan terjamin tinggal di Malaysia.

 

Soalan: Mengenai inflasi, adakah kerajaan atau Bank Negara Malaysia telah melakukan secukupnya untuk membendung inflasi? Adakah pemboleh ubah eksogen atau endogen yang memberi kesan ini kepada ekonomi?

 

Jawapan : Hakikatnya ialah inflasi bukan dari dalam Malaysia tetapi dari luar. Ia datang dari luar kerana dolar AS yang lebih kukuh. Jika anda lihat di rantau ASEAN, inflasi Singapura ialah 7.5 peratus, Filipina 6.9 peratus, Indonesia 4.7 peratus dan Malaysia masih 4.5 peratus.

Inflasi di Eropah melebihi 10 peratus. UK melepasi 10 peratus manakala Australia melebihi tujuh peratus. Jadi jika anda membandingkan tinjauan inflasi, Malaysia masih antara yang terendah dengan hanya Vietnam sahaja yang lebih rendah daripada Malaysia. Negara-negara lain menghadapi tekanan inflasi yang lebih tinggi. Kira-kira 60 peratus daripada ekonomi global berada dalam stagflasi.

 

Apakah itu stagflasi? Ia adalah apabila anda mempunyai inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih rendah. Jadi, Malaysia masih bernasib baik kerana disebabkan dasar kerajaan, kadar inflasi lebih rendah.

 

Soalan:  Apakah yang dijangkakan oleh pelabur global seperti anda daripada kerajaan dari segi strategi ekonomi atau rangka kerja dasar pada masa hadapan?

 

Jawapan : Kami mengharapkan konsistensi. Dan dalam tempoh satu tahun setengah yang lalu apa yang telah kami lihat semasa COVID-19 dan selepas COVID-19, kerajaan telah dapat mengekalkan konsistensi ekonomi. Mereka telah menyediakan rangka kerja dan membiarkan sektor swasta menggerakkan ekonomi.

Saya percaya kepada pasaran bebas. Individu yang mempunyai pengaruh besar kepada keperibadian saya ialah Milton Friedman, salah seorang pemenang anugerah Nobel dari Universiti Chicago.

Saya percaya kerajaan telah memberikan rangka kerja dasar dan keyakinan ekonomi kepada rakyat. Itulah sebabnya anda mempunyai penggunaan yang kukuh, FDI memasuki negara dan angka dagangan meningkat. Ia hanya berlaku apabila anda mempunyai dasar yang konsisten.

 

Soalan: Bersandarkan kepada banyak keputusan yang telah diambil oleh Ismail Sabri dalam pelbagai perkara, khususnya mengembalikan ekonomi di landasan tepat, adakah anda menganggap beliau sebagai seorang pemimpin yang mampu memulihkan ekonomi serta menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini?

 

Jawapan: Saya berinteraksi dengan ramai orang. Saya juga lebih selesa dengan mereka yang tidak banyak cakap tetapi lebih berorientasikan tindakan serta seorang yang berwawasan. Ada ramai orang yang bijak bercakap tetapi tidak mampu menjadikannya satu kenyataan.

Perdana Menteri Ismail Sabri misalnya adalah individu yang tidak banyak bercakap, tetapi beliau berorientasikan tindakan dan akan melaksanakannya. Beliau memimpin dari peringkat hadapan dan inilah yang saya lihat ketika fasa peralihan endemik COVID-19, (apabila) Perdana Menteri sendiri sanggup turun padang dan begitu juga KJ dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sisi lain Perdana Menteri yang saya suka adalah sikap beliau yang mendengar suara pelabur. Saya juga merupakan ahli Persatuan Perniagaan Hong Kong-Malaysia dan mereka telah berinteraksi serta memberi pandangan. Pada masa sama, saya turut menganggotai Economic Club of Kuala Lumpur. Mereka ini telah mengemukakan pelan sebelum pembentangan bajet dan diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

Oleh itu, sebagai Perdana Menteri, anda perlu mendengar kenyataan kesemua pihak berkepentingan. Hanya selepas itu dan mendapat maklum balas, anda akan berkata okay, inilah dasar yang kita perlu laksanakan.

Jika anda tanya saya mengenai beliau selaku Perdana Menteri, ya...saya sukakan beliau kerana tidak banyak bercakap tetapi lebih mengutamakan atau berorientasikan tindakan. Beliau lebih kepada mementingkan untuk menyampaikan hasil atau manfaat ekonomi bagi kepentingan rakyat Malaysia. Oleh itu, bagi saya, beliau adalah pilihan yang baik. Secara amnya, saya sukakan individu berpengalaman yang dapat merealisasikan hasil ekonomi untuk rakyat negara ini.

 

Soalan: Ismail Sabri amat serius dalam usaha membendung rasuah dalam pentadbiran beliau serta parti UMNO. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin UMNO yang sedang menjalani hukuman penjara berkaitan pembabitan dalam skandal 1MDB. Adakah anda melihat perkembangan ini dapat membantu memulihkan semula keyakinan terhadap Malaysia dan nama baik negara ini dalam kalangan pelabur asing serta pemimpin dunia?

 

Jawapan: Jika anda memahami apa yang tersirat, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tiada siapa pun yang mengatasi undang-undang dan semua orang perlu mematuhinya. Sebagai seorang rakyat asing, saya juga tidak terkecuali dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan yang ada.

Apa yang saya suka mengenai Perdana Menteri adalah kenyataan beliau bahawa undang-undang itu perlu dibiarkan untuk terus berfungsi. Beliau juga menegaskan untuk tidak campur tangan dan ini telah meyakinkan pelabur tempatan. Kedaulatan undang-undang adalah kukuh. Badan kehakiman juga kukuh di Malaysia dan ini adalah antara teras ekonomi selain aspek (kuasa) eksekutif serta tonggak lain ekonomi.

Apabila badan kehakiman negara anda kukuh, ini memberikan isyarat positif kepada pelabur global mahu pun tempatan.

-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo