NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu infrastruktur, peniaga kecil jadi agenda calon bebas di Alor Setar

Calon bebas Sofan Feroza Md Yusup (kiri) dan Datuk Dr Nordin Yunus.

ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur masyarakat setempat di Parlimen Alor Setar menjadi antara agenda utama bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah Datuk Dr Nordin Yunus bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Calon Bebas yang menggunakan simbol pokok itu berazam untuk membawa perubahan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di Parlimen Alor Setar menerusi agenda ‘Integriti, Profesionalisme dan Akauntabiliti’ jika diberi mandat pada PRU15.

Nordin, 69, berkata beliau melihat infrastruktur di bandar raya ini terutamanya sistem lalu lintas sebagai ‘kelam kabut’ dan perlu dinaik taraf untuk keselesaan pengguna.

"Sebagai anak tempatan saya menerima sokongan yang kuat daripada masyarakat setempat walaupun tidak mempunyai mana-mana parti ketika ini. Biarlah pengundi di Alor Setar ini melihat siapakah calon yang akan bertanding.

“Yang penting kita kena menilai kebolehan calon itu, adakah mereka dapat memberi pembangunan untuk rakyat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui berkempen di Pasar Kampung Berjaya, di sini hari ini.

Seorang lagi calon Bebas Sofan Feroza Md Yusup, 43,  pula menyasarkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga dan usahawan kecil di bandar raya ini yang masih memerlukan pelbagai bentuk bantuan untuk menjalankan perniagaan.

Beliau yang bertanding dengan sokongan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga akan memberikan tumpuan untuk membantu golongan susah termasuk ibu tunggal dan orang kurang upaya.

“Kalau saya menang, Alhamdulillah. Saya tiada parti dan saya tiada apa-apa. Saya hanya orang Alor Setar yang hanya dibantu kenalan dan bergerak bersama PPIM,” kata ahli perniagaan itu yang juga bekas jurulatih Taekwando Majlis Sukan Negeri Kedah.

Sofan Feroza juga berhasrat memeriahkan aktiviti sukan di Alor Setar menerusi penyediaan pelbagai kompleks dan arena sukan serta kemudahan rekreasi yang dapat dimanfaatkan penduduk pelbagai peringkat usia.

Parlimen Alor Setar menyaksikan saingan tujuh penjuru melibatkan Nordin dan Sofan Feroza dengan lima calon lagi iaitu Afnan Hamimi Taib Azamudden (Perikatan Nasional), Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (Pejuang), Datuk Fadzil Hanafi (Parti Warisan), Tan Chee Hiong (Barisan Nasional) dan Simon Ooi Tze Min (Pakatan Harapan).

-- BERNAMA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo