NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Che Abdullah bersifat peribadi, sudah selesai - Takiyuddin


KOTA BHARU:
PAS menyifatkan isu yang melanda penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi sebelum ini bersifat peribadi dan dianggap sudah selesai.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Che Abdullah juga sudah memberi alasan bertulis berhubung kes suatu ketika dulu, malah tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadapnya.

Justeru katanya, tidak timbul isu beliau difitnah dan tidak dapat mempertahankan diri selain tidak diberi ruang oleh PAS sebagaimana yang didakwa.

"Kita kurang faham mengenai alasan yang diberikan Che Abdullah untuk dijadikan tujuan bagi bertanding di Parlimen Tumpat menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

"Sebenarnya isu 'kawan' saya ini lebih kepada 'personal'. Saya boleh mengesahkan bahawa dalam PAS sendiri tiada apa-apa prosedur tatatertib dikenakan terhadapnya.

"Oleh kerana pada masa itu beliau adalah Timbalan Menteri, saya ada meminta beliau memberi penjelasan bersurat jadi dia sudah beri penjelasan dan berjanji untuk menyelesaikan perkara itu, so kira 'case closed' lah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mungkin jika Che Abdullah menang pada PRU15 nanti mampu membuatkan maruahnya terbela.

"Apabila dia bertanding dalam PRU15 dan sebut tujuannya adalah untuk menebus maruah, saya tak fahamlah macam mana dia nak tebus maruah kerana biasanya orang nak tebus maruah ni bawa kes ke mahkamah atau mana-mana," katanya.

Semalam, BN mengumumkan Che Abdullah bertanding di Parlimen Tumpat menggunakan tiket BN pada PRU15.

Dalam perkembangan isu calon PN Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor yang mendakwa belum menerima watikah perlantikan untuk proses penamaan calon esok, Takiyuddin berkata, semua calon PN di negeri ini akan menerima watikah itu malam ini.

Beliau berkata, watikah sudah siap ditandatangani cuma belum diagihkan lagi dan menyifatkan perkara itu adalah normal malah beliau sendiri belum menerima watikah berkenaan.

"Dalam PAS, negeri yang guna logo PAS adalah Kelantan dan Terengganu, yang tandatangan watikah adalah saya, Setiausaha Agung dan saya yang bertanding di (Parlimen) Kota Bharu sendiri pun tak dapat lagi watikah itu.

"Pengisytiharan calon adalah isytihar calon, bukan penyampaian watikah, kena faham. Penyampaian watikah adalah prosedur, isi borang dan watikah itu adalah 'attach' dokumen kepada borang penamaan calon. Itu kena faham la proses ni... 'everything is in order'.

"Siapa berani kata saya tak 'sign' lagi? Saya sudah 'sign' cuma tak diagihkan lagi, normal la. Difahamkan malam ini akan diberikan dan semua calon diminta datang untuk ambil," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo