NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ingat dah ‘settle’ Poster Boy BN!


Betul-betul saya ingat sudah beres lantas siapa “poster boy” Umno-Barisan Nasional dan calon perdana menterinya bukan lagi isu. Rupa-rupanya saya silap. Nampaknya ia masih masalah besar yang menghurung Umno.

Jika tidak masakan presiden Umno merangkap pengerusi BN, Zahid Hamidi, beberapa kali menegaskan Ismail Sabri Yaakob “poster boy” BN dan perdana menteri jika gabungan itu menang PRU15. Ismail sendiri berulang kali menegaskan, dengan bersungguh-sungguh, beliau “poster boy” BN dan calon perdana menteri BN.

Baiklah, kita faham dan terima kenyataan mereka tetapi mengapa kita mesti diberitahu berkali-kali Ismail “masih calon tunggal BN” untuk duduk kerusi perdana menteri. Ini saya petik kata-kata Zahid tempoh hari.

Untuk mengukuhkan kenyataannya, Zahid berkata “kita boleh tengok poster dan ‘billboard’ beliau (Ismail) di merata-rata tempat termasuk di Bagan Datuk.” Umum tahu Bagan Datuk kubu Zahid yang beliau pertahankan pada pilihan raya ini.

Ismail pula mengingatkan semua bahawa statusnya diputuskan dengan jelas pada Perhimpunan Agung Umno 2021 dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti pada April tahun ini.

“Sehingga kini tidak ada keputusan sebaliknya oleh MKT dan baru-baru ini lebih 150 daripada 190 Umno bahagian meluluskan usul menyokong saya sebagai calon perdana menteri.”

Berdasarkan itu Zahid dan Ismail seharusnya tahu kedudukan masing-masing. Zahid tidak perlu cakap apa yang beliau cakap tak henti-henti manakala Ismail pula sepatutnya tenang dalam keadaan selesa. Tak begitu?

Tetapi seperti disebut tadi kedua-dua ulang dan ulang – seolah-olah merasa perlu untuk menyakinkan rakyat. Adakah mereka tidak percaya rakyat percaya apa yang mereka katakan lalu mesti diyakinkan terus-menerus?

Ismail menyalahkan pembangkang. Katanya, “persepsi yang cuba dicipta pembangkang adalah palsu dan fitnah semata-mata dan tidak lain tidak bukan bertujuan hendak memecah-belah dan mewujudkan persengketaan dalam Umno.”

Itu kata-kata beliau yang diluahkan 8 November lalu sehari selepas Zahid membuat kenyataan. Menurut Ismail, naratif yang dimainkan pembangkang bahawa calon perdana menteri BN selepas PRU15 ialah Zahid “adalah fitnah”. Adakah rakyat telan bulat-bulat fitnah yang Ismail kata itu, sehingga beliau dan Zahid terpaksa buat penafian demi penafian?

Memang benar pembangkang menonjolkan isu Zahid calon PM. Bagaimanapun untuk menyalahkan mereka secara “total” dan menuduh mereka mencipta isu itu, bagi saya, agak tidak adil.

Pembangkang sekadar memetik apa yang dilaungkan pemimpin Umno sendiri. Contoh Ogos lalu, Ahli MKT, Puad Zarkashi, lantang berkata walaupun sudah ada keputusan (yakni pilihan Umno) “tetapi kalau sudah jadi liabiliti elok batalkan sahaja ‘poster boy’.” Katanya lagi, “’poster boy’ tidak boleh mereka yang ‘over’ perasan dan lembik.”

Puad tidak menamakan sesiapa tetapi semua dalam dan luar Umno tahu siapa yang beliau maksudkan. Tidak ada apa-apa tindakan diambil pucuk pimpinan ke atas beliau kerana ‘mempertikai’ keputusan Umno, terutama MKT yang beliau sendiri menjadi anggotanya.

Itu cerita Ogos. Mungkin sekarang boleh dianggap ‘cerita lama’. Namun ada ‘cerita baharu’. Sehari sebelum hari penamaan calon, bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia, Zahidi Zainul Abidin, mendakwa Zahid mengambil kesempatan daripada proses pemilihan calon Umno-BN untuk mengukuhkan “cengkamannya” ke atas parti.

Zahidi menuduh Zahid “sedang merancang untuk menjadi perdana menteri walaupun mengesahkan Ismail sebagai ‘poster boy’ BN.”

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, pula tampil baru-baru ini untuk menyatakan rasa khuatir akan nasib yang mungkin menimpa Ismail dengan berkata, “Saya rasa Ismail Sabri kena berhati-hati di jalan raya, silap-silap kena ‘tipu’.”

Sebenarnya beliau tidak menggunakan perkataan ‘tipu’, istilah yang beliau gunakaan tidak mahu saya ulangi di sini. Apa pun maksudnya jelas.

Zahidi dan Shahidan digugurkan BN daripada senarai calon PRU15. Adakah kedua-duanya membalas dendam lantas melemparkan tuduhan ke atas Zahid? Persoalan yang lebih penting, daripada bertanya mengapa mereka menuduh ialah adakah tuduhan mereka itu benar?

Sehingga kini tidak ada laporan Zahid, Ismail, mahupun Umno bercadang atau telah ambil tindakan, termasuk tindakan undang-undang umpamanya, terhadap kedua-dua bekas orang kuat Umno itu. Mungkinkah saya terlepas pandang?

Zahidi dan Shahidan dikatakan ‘orang Ismail’ semasa mereka dalam Umno dan kononnya tidak sehaluan dengan Zahid dan pasukannya. Adakah gugurnya mereka daripada senarai calon BN secara kebetulan atau dirancang?

Hakikatnya beberapa orang yang dilihat sebagai ‘penyokong Ismail’ sudah diketepikan Zahid. Sekurang-kurang dua penganalisis politik dipetik The Malaysian Insight berkata, Zahid cuba meletakkan dirinya sebagai bakal perdana menteri daripada Umno tetapi untuk merealisasikan impiannya perlu mewujudkan penyokong setia. Lalu calon Parlimen Umno pilihan Zahid padat dengan penyokongnya, kata penganalisis.

Berdasarkan itu semua, bolehkah dipersalahkan pembangkang menerima apa yang dihidangkan orang Umno sendiri? Tentunya bagi mereka pucuk dicita ulam mendatang.

Bukan itu sahaja. Zahid sendiri memaparkan imej beliau mengepalai jentera pilihan raya Umno-BN. Walaupun Ismail dikatakan “poster boy”, beliau dilihat keterbelakang berbanding Zahid. Seolah-olah berpuas hati gambarnya terpampang di poster dan papan tanda.

Saya faham Zahid bertindak selaku presiden Umno dan pengerusi BN. Kedua-dua jawatan itu membolehkan beliau bergerak bagai nakhoda. Itu kebiasaannya. Tetapi ini bukan zaman kebiasaan. Ismail meskipun perdana menteri (caretaker) hanya naib presiden Umno. Lalu susah nak bergerak sebagai kapten.

Oleh itu persepsi umum dan isyarat yang dilihat ialah Zahid pemimpin nombor wahid dulu, sekarang, dan selanjutnya.

Apatah lagi Zahid ada dilapor berkata proses memilih seseorang perdana menteri bukan sahaja terletak dalam tangan parti politik tetapi Yang di-Pertuan Agong, dan “budi bicara mutlak baginda berdasar Perkara 43 Perlembagaan mesti dihormati.”

Timbalan beliau, Mohamad Hasan, pula ketika berucap pada satu ceramah di Senawang, Negeri Sembilan memberitahu pengundi “jangan risau siapa akan jadi perdana menteri (kerana) kami ada pemimpin yang berpengalaman dan pasukan ini akan menguruskan segalanya. Seorang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk jadi perdana menteri.”

Tidak kira lah dalam konteks apa Zahid dan Tok Mat berhujah demikian. Tidak kiralah Zahid dan Ismail akan terus nafi itu dan nafi ini. Tidak kiralah Ismail berulang kata tiada sengketa dengan Zahid.

Namun jangan disalahkan rakyat jika menggaru kepala dan berkata, “jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang.”

Mohsin Abdullah



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo