NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FIFA 2022 : Belanda dijangka tambah derita Qatar

Pemain Belanda, Virgil Van Dijk (kanan) mengasak pemain Ecuador, Michael Estrada pada aksi Kumpulan A Piala Dunia 25 November lalu. - EPA 

DOHA: Walaupun tuan rumah, Qatar sudah tersingkir awal, mereka dijangka terus dimalukan selepas perlu berdepan Belanda bagi aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al Bayt, malam esok.

Persembahan buruk tuan rumah itu jelas menjadi kekecewaan terbesar sekalipun melakukan persiapan rapi selama bertahun-tahun apabila memperagakan aksi yang kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan pertama.

Mana tidaknya, mereka menjadi pasukan pertama tersingkir tidak sampai seminggu selepas kejohanan itu membuka tirainya.

Tewas 0-2 di tangan Ecuador pada aksi pembukaan, mereka kemudian tumbang 3-1 di tangan Senegal apabila terus gagal memperagakan peningkatan pada aksi kedua sekali gus menyaksikan aksi berat sebelah mungkin disaksikan apabila mereka menentang Belanda untuk menutup kempen kali ini.

Belanda sudah pasti mengimpikan takhta juara Kumpulan A namun itu bukanlah sasaran utama mereka memandangkan pengendalinya, Louis Van Gaal berulang kali mengatakan mereka mampu layak ke final.

Mereka memerlukan dua gol lewat permainan untuk menundukkan Senegal dan meskipun terlebih dahulu di depan ketika menentang Ecuador, mereka 'tenggelam' dan dipaksa seri 1-1.

Van Gaal dijangka meletakkan Memphis Depay dalam kesebelasan utama dan menuntut jentera serangannya supaya lebih garang pada aksi terakhir itu.

Jurulatih veteran itu juga dijangka melakukan perubahan di bahagian tengah selepas diatasi oleh 'Pitbull Ecuador' seperti yang dinyatakan kapten, Virgil van Dijk.

"Kami boleh beraksi seperti itu, kami ada pemain yang boleh beraksi sebegitu. Tetapi itu bukanlah corak permainan kami.

"Kami mahu memegang bola dan mencipta corak permainan. Kami juga ada pemain yang boleh melakukan perkara itu. Kami hanya perlu menunjukkannya di sini," kata Van Dijk. -REUTERS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo