NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon baharu beri kemenangan kepada PAS


SYAHIR
Sulaiman adalah naib presiden di bahagian hartanah sebuah gergasi perladangan manakala Bakri Jamaluddin merupakan pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Syahir, setiausaha politik kepada presiden PAS mengukuhkan penguasaan di kerusi Bachok walaupun parti Islam itu dikritik sebelum ini kerana menggugurkan penyandang, Nik Abduh Nik Aziz.

Manakala kemenangan Bakri di Tangga Batu juga mengejutkan ramai pihak, mencetuskan kejayaan sulung PAS di Melaka.

Kedua-dua teknokrat itu adalah antara muka baharu yang diketengahkan PAS selain mereka yang mempunyai latar belakang pelbagai selain teknokrat, ada dari kalangan bekas pendidik, usahawan dan agamawan.

Biarpun pertama kali bertanding namun calon baharu PAS telah menumbangkan ramai pemimpin tertinggi kedua-dua PH dan BN tumbang dalam pilihan raya umum.

Calon wanita yang diketengahkan PAS juga menyerlah seperti Masturah Muhammad yang menang kerusi Kepala Batas mengakhiri penguasaan selama 48 tahun Barisan Nasional di kerusi Parlimen itu sejak 1948.

PAS juga menampilkan pejuang lamanya Misbahul Munir Masduki telah berusaha selama bertahun-tahun bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri DUN dan akhirnya berjaya apabila beliau menyingkirkan naib presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, kerusi yang disandang bekas Menteri Hal Ehwal Agama selama tiga penggal.

Timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu bertanding lima kali di DUN Rungkup dan sekali DUN Hutan Melintang pada PRU14  sebelum muncul juara di Parit Buntar.

PAS mencatat prestasi terbaik pada PRU15 apabila muncul parti yang menang kerusi paling banyak 43 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU15 hingga mencetus fenomena gelombang Melayu.

Pas turut memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, selain menjadi parti paling dominan memenangi kerusi DUN di Perak dan Pahang.

17 daripada 43 kerusi parlimen dimenangi oleh calon kali pertama selain tujuh merupakan calon anak muda dan lima merupakan calon wanita.

Penganalisis politik Mazlan Ali berkata kemenangan PAS itu kerana dua faktor iaitu  peralihan sokongan pengundi BN kepada Perikatan Nasional (PN) dan sokongan pengundi muda.

Siti Mastura Muhammad mengakhiri penguasaan selama 48 tahun dari 1948 Barisan Nasional di kerusi Parlimen Kepala Batas. – Gambar Facebook, 28 November, 2022.
Siti Mastura Muhammad mengakhiri penguasaan selama 48 tahun dari 1948 Barisan Nasional di kerusi Parlimen Kepala Batas. – Gambar Facebook, 28 November, 2022.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar turut senada berkata PN bijak menggunakan ruang media sosial seperti platform tik tok dalam mendekati kelompok pengundi tengah atau pengundi muda ini.

“PAS jelas mengungguli segmen mengisi kantungan kempen platform berkenaan. Kedua disumbang parti lain khusus Kelantan dan Terengganu, Umno, BN gagal menyaingi kekuatan jentera disebabkan BN menghadapi masalah dalaman.

“Ia menyebabkan jentera mereka tidak dapat bergerak dengan lancar seperti mana sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kejayaan PAS itu juga kerana kekuatan parti itu sendiri dan bukan semata-mata kerana calon.

Namun beliau berkata PAS berani meletakkan muka baharu yang disifatkan memberi kelebihan kerana latar belakang calon itu lebih bersih tanpa sebarang kontroversi.

“Kejayaan PAS kerana kekuatan parti itu sendiri, memang faktor dalam politik yang berdiri atas identiti parti sendiri, begitu juga PN di bandar mereka mengundi kerana parti.

“Jadi tidak kisah letak apa sahaja calon, pengundi tetap akan pilih PAS, ” katanya.

Berikut adalah latar belakang wakil rakyat baharu PAS itu:

Kuantan

Wan Razali  Wan Nor mengalahkan penyandang tiga penggal, Fuziah Salleh dengan  25,514 undian. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengurus saluran negeri Pahang Malaysia Berhad dan Pegawai Pembangunan Perniagaan Negeri Pahang di Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

Dalam parti Wan Razali memegang jawatan sebagai pengarah jabatan IT& Dataraya PAS Pahang dan pengarah pilihan raya PAS Kuantan.

Temerloh

Salamiah Mohd Nor merupakan seorang guru yang berkhidmat selama 10 tahun dan telah mengajar pelbagai sekolah di Pahang antaranya Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hwa Lian, Mentakab dan Sekolah Menengah Paya Pulai, Temerloh.

Bekas pendidik itu menang dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan calon Pakatan Harapan Mohd Hasbie Muda dan calon dari BN Mohd Sharkar Shamsuddin dengan majoriti 5,520 undi.

Pada PRU14, kerusi parlimen Temerloh dimenangi oleh pemimpin dari Amanah, Mohd Annuar Mohd Tahir.

Padang Besar

Rushdan Rusmi yang merupakan anak jati Perlis menang kerusi Padang Besar dengan majoroti 12514 undi.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai  pengarah negeri khidmat Malaysia dan juga merupakan pengasas Yayasan Pendidikan Islam Ibnu Agil.

Dalam parti, Rusdan yang juga pemilik syarikat bio perubatan 4U-TECH Corporation Sdn.Bhd  memegang jawatan AJK perhubungan PAS Negeri Selangor dan Timbalan Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Jerlun

Abdul Ghani Ahmad mencipta kejutan mengalahkan presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dengan majoriti 20,456 undi.

Beliau menjadi Adun sebanyak dua kali untuk kerusi Ayer Hitam mewakili PAS.

Ahmad Yahaya menewaskan penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dengan lebih 31,700 undi. – Gambar Facebook, 28 November 2022.
Ahmad Yahaya menewaskan penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dengan lebih 31,700 undi. – Gambar Facebook, 28 November 2022.

Padang Terap

Pegawai khas kanan menteri besar Kedah, Nurul Amin Hamid turut mencipta kejutan mengalahkan ‘gergasi’ Umno, Mahdzir Khalid yang juga penyandang kerusi itu dengan 28,217 undi.

Ketua pemuda PAS Kedah itu mempunyai kelulusan sarjana muda (kepujian) usuluddin & dakwah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan pernah menjadi guru besar.

Pokok Sena

Ahli Dewan Negara  Ahmad Yahaya mengalahkan penyandang, Mahfuz Omar dengan 52,275 undi.

Ini merupakan kali pertama pesuruhjaya PAS Kedah itu bertanding kerusi Parlimen.Sebelum ini beliau menjadi wakil rakyat Alor Mengkudu sebanyak dua kali.

Kuala Kedah

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhruraz menang dengan majoriti 28,061 dalam pertandingan lima penjuru.

Beliau merupakan pemegang sarjana muda (undang-undang syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM)  sarjana (undang-undang perbandingan) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan doktor falsafah bidang syariah (UKM).

Beliau sebelum ini pernah mencuba nasib bertanding di kerusi DUN Pengkalan Kundur namun kalah kepada  calon Amanah, Ismail Salleh pada PRU14.

Kepala Batas

Kemenangan Siti Mastura Muhammad mengakhiri penguasaan selama 48 tahun dari 1948 BN di kerusi Parlimen itu.

Siti Mastura menewaskan penyandang, Reezal Merican dengan mendapat 28,604 undi.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu merupakan pemegang ijazah sarjana Universiti Al-Azhar, Mesir dan doktor falsafah Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan ahli majlis agama Islam Pulau Pinang dan ahli jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

Permatang Pauh

Kejayaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menumpaskan kubu kuat PH dengan mengalahkan pencabarnya Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 5,272 undi juga mengejutkan ramai pihak.

Kerusi parlimen itu dipertahankan secara turun temurun oleh keluarga Anwar Ibrahim, isteri dan anaknya.

Muhammad Fawwaz merupakan pendakwah yang memegang jawatan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Darul Hadis Al-Filfilaniyyah.

Selain itu beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif zakat Pulau Pinang.

Dalam politik pula, beliau ialah ketua pemuda PN Pulau Pinang, Pemuda PAS Pulau Pinang.

Parit Buntar

Misbahul Munir Masduki mengalahkan penyandang kerusi itu, naib presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa dengan  23,223 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Pengetua pusat dakwah serantau ini memegang jawatan dalam parti sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, timbalan pesuruhjaya PAS Perak dan pesuruhjaya PAS Bagan Datuk.

Beliau telah bertanding lima kali sejak tahun 1999 di Dewan Undangan Negeri Rungkup, dan yang terakhir pada tahun 2018 di Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang.

Mumtaz Md Nawi menewaskan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi dengan 34,793 undi. – Gambar Facebook, 28 November 2022.
Mumtaz Md Nawi menewaskan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi dengan 34,793 undi. – Gambar Facebook, 28 November 2022.

Parit

Muhammad Ismi Mat Taib (PN) mengalahkan penyandang kerusi itu Mohd Nizar Zakaria  mewakili BN dengan hanya perbezaan 2,155 undi.

Anak jati Perak itu merupakan usahawan dan pendakwah dengan latar belakang pendidikannya pemegang ijazah sarjana dalam Usuluddin Al-Quran & Al-Hadith dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana muda Bahasa Arab dari Universiti Jordan.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pasir Salak

Jamaluddin Yahya memenangi kerusi Parlimen Salak mengalahkan tiga lawannya yang lain antarnya pencabar Khairul Azwan Harun dari BN, dan Nik Omar Nik Aziz dengan dengan perbezaan 5,003 undi.

Beliau merupakan seorang imam dan memegang jawatan dalam parti sebagai timbalan yang dipertua PAS Pasir Salak.

Hulu Selangor

Hasnizan Harun berjaya merampas kerusi parlimen itu dalam pertarungan yang sengit berdepan pertandingan enam penjuru dengan kelebihan hanya 1,562 undi.

Ahli perniagaan itu pernah berkhidmat sebagai ahli majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Dalam parti, beliau pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor.

Tangga Batu

Bakri Jamaluddin menang dengan majoriti 8,849 undi selepas memperoleh 37,406 undi menewaskan penyandang kerusi itu, Rusnah Aluai wakil (PH).

Bakri dilihat antara calon terkuat ditampilkan PAS kerana latar belakangnya dalam bidang korporat.

Beliau mempunyai 34 tahun pengalaman dalam industri kelapa sawit pernah  memegang jawatan  ahli lembaga pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), ahli jawatankuasa IInduk Konsortium Penyelidikan Penjenteraan dan Automasi Minyak Kelapa Sawit (MARCORP) dan anggota Pembina Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia, Gapki Kalimantan Timur.

Dalam parti beliau merupakan ketua penerangan PAS Melaka.

Jasin

Zulkifli Ismail menang di kerusi kubu kuat BN yang tidak pernah ditembusi parti lain sejak kerusi itu dipertandingkan.

Beliau menang dengan majoriti tipis 322 undi menewaskan calon BN Roslan Ahmad, calon PH Harun Mohamed calon Pejuang Mohd Daud Nasir.

Pesuruhjaya PAS Melaka itu pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa Fatwa Melaka.

Beliau pengasas Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha dan antara ahli jawatankuasa ulama PAS.

Tumpat

Mumtaz Md Nawi mengalahkan penyandang, Che Abdullah Mat Nawi yang bertanding atas tiket BN di kerusi itu dengan majoriti 34,793 undi.

Beliau merupakan Adun Demit dan exco pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Kelantan.

Dalam parti, beliau memegang jawatan naib ketua dewan muslimat PAS. Beliau pernah mencetuskan kontroversi dengan kenyataan sokongan kepada amalan bai’ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti PAS yang melompat parti.

Bekas peguam itu berkata amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

Bachok

Syahir Sulaiman menang dalam pertandingan lima penjuru dengan perbezaan 29,901 undi.

Setiausaha politik kepada presiden PAS itu, memperolehi sarjana muda ekonomi di UIAM dan sarjana pengajian pembangunan di UM.

Beliau pernah berkhidmat dalam bidang korporat memulakan kerjaya sebagai pelatih di sebuah firma perakaunan antarabangga yang beroperasi di Malaysia, (PwC) dan jawatan terakhirnya sebagai penolong naib presiden pembangunan perniagaan dan perancangan strategik di Sime Darby Property.

Syahir kemudiannya melepaskan jawatannya di Sime Darby selepas dilantik sebagai setiausaha politik Abdul Hadi Awang pada 2018. – 28 November, 2022.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Syahir Sulaiman berjaya menawan kerusi Bachok dalam pertandingan lima penjuru. – Gambar Facebook, 28 November 2022.
Setiausaha Politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Syahir Sulaiman berjaya menawan kerusi Bachok dalam pertandingan lima penjuru. – Gambar Facebook, 28 November 2022.






........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo