NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Britain berhasrat hentikan pengambilan pelajar asing

LONDON: Pengambilan pelajar asing mungkin dihentikan oleh Britain melainkan mereka mendapat tempat di universiti terbaik berikutan langkah terbaru yang akan diperkenalkan Perdana Menteri, Rishi Sunak bagi mengekang kemasukan pendatang asing di negara itu.

Mail Online melaporkan, Sunak dikatakan sedang mempertimbangkan langkah itu, bersama dengan larangan menyeluruh terhadap pelajar luar negara yang membawa keluarga mereka bersama.


Sunak menegaskan jumlah pendatang asing akan dikurangkan dan membayangkan tindakan tegas terhadap visa pelajar selepas angka pendatang di UK melonjak ke rekod tertinggi melebihi setengah juta tahun lalu.

Kerajaan Britain berkata rancangan untuk mengurangkan jumlah itu mungkin merangkumi halangan terhadap pengambilan keluarga pelajar antarabangsa dan menyekat kemasukan ke universiti terkemuka.

Langkah itu selaras dengan cadangan yang diusulkan Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman, yang sebelum ini mengadu mengenai pelajar asing mengambil kesempatan untuk membawa bersama ahli keluarga lain menggunakan visa pelajar mereka.

Bagaimanapun, Presiden Universiti UK, Prof Steve West, berkata sebarang langkah untuk menyekat bilangan pelajar luar negara akan memaksa sesetengah institusi pengajian ditutup kerana banyak bergantung kepada pembiayaan daripada yuran pelajar antarabangsa, yang melebihi apa dibayar oleh pelajar UK sendiri.

"Langkah itu akan membawa bencana besar di seluruh negara terutama bandar besar yang bergantung kepada universiti untuk menarik pelaburan masuk.

"Perniagaan tertarik dengan kedudukan universiti dan kita bercakap mengenai kesan berpuluh bilion pound kepada ekonomi.

"Saya rasa kita tidak mampu untuk membelakangkan industri eksport yang amat berjaya ini," katanya.

Menurut anggaran Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), lonjakan itu didorong oleh faktor 'unik' termasuk skim visa untuk warga Ukraine dan Hong Kong serta pelajar yang tiba dari luar Kesatuan Eropah (EU).

Pendatang asing yang tiba dengan visa pelajar menyumbang bahagian terbesar migrasi jangka panjang bagi warga bukan EU, iaitu sebanyak 277,000 orang.

Canselor, Jeremy Hunt, minggu lalu menegaskan bahawa migrasi pendatang asing diperlukan untuk meningkatkan pertumbuhan negara ini.

"Perlu ada rancangan jangka panjang jika kita mahu menurunkan jumlah pendatang asing dengan cara yang tidak memudaratkan ekonomi.

"Kami menyedari bahawa kami akan memerlukan migrasi untuk tahun-tahun akan datang kerana ia akan menjadi sangat penting untuk ekonomi," katanya. - AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo