NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azwan Ali tak jadi 'lawan' abang di Gombak


GOMBAK:
Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan menarik diri dari daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika tiba di pusat penamaan calon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, pagi tadi.

Azwan, 56, yang tiba di lokasi dengan menaiki motosikal itu membuat keputusan pada Subuh tadi selepas mendengar bisikan dari arwah ibunya, Mak Tom dan sekali gus menidakkan kenyataannya untuk bertanding di atas tiket calon Bebas Parlimen Gombak sebagai satu gimik.

"Pagi ini selepas subuh saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham emak saya, Mak Tom. Ini bukan perkara main-main mahupun gimik.

"Saya percaya ada hikmah yang Allah tunjuk supaya saya tidak bertanding. Arwah Mak Tom selalu datang dalam mimpi saya dan menasihatkan saya jangan bertanding. Tak kisahlah anda kata merepek, tapi saya dengar suara emak saya.

"Saya minta maaf sebab terlalu ramai penyokong yang inginkan saya bertanding. Jadi maafkan saya, hajat anda tidak kesampaian. Saya juga minta maaf kerana mungkin keputusan saya ini memgejutkan semua," katanya kepada BH Online.

Tambah Azwan yang tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan perkara itu, dia turut menerima panggilan daripada isteri abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, iaitu Datin Seri Shamshida Taharin, malam tadi.

Dan panggilan itu juga antara faktor dia memutuskan untuk menarik diri.

"Kami bercakap panjang lebar malam tadi, tapi panggilan itu bukanlah untuk memujuk saya untuk tak bertanding. Jangan salah faham. Kami bercakap mengenai topik lain.

"Jujurnya saya sangat menghargai jasanya dan saya sangat terharu apabila beliau berkata Azmin selalu bertanya pasal saya. Itu antara faktor di sebalik keputusan saya menarik diri. Saya juga gembira dapat bercakap dengan beliau selepas enam tahun kami terpisah.

"Beliau akui beliau tak hubungi saya sebab ingatkan saya yang tak mahu menghubunginya. Tapi sebenarnya kami sangat rapat," katanya.

Azwan turut menyatakan sokongannya kepada calon Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

"Saya menyokong penuh PH, tapi jangan tanya kenapa. Tapi apa pun kesalahan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maafkan dan biarkan dia teruskan perjuangannya bersama pasukannya yang berkredibiliti terutamanya Datuk Seri Amirudin Shari yang cemerlang membangunkan Selangor.

"Kita semua mengharapkan yang terbaik dari mereka. Kepada pengundi semua, jangan sebarangan memangkah, fikir dua kali sebelum berbuat demikian. Dan percaya penduduk Gombak tidak bodoh. Jadi keluarlah mengundi pada 19 November ini," katanya.

Sementara itu, Azwan turut menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 untuk bertanding.

"Saya memang tiada penaja tapi bukannya saya tiada duit," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo