NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin yakin tak mustahil PN dapat majoriti mutlak


Tidak ada perkara yang mustahil, kata Azmin Ali. Justeru pengarah pilihan raya PN itu menzahirkan keyakinannya bahawa gabungan terbabit mampu memperoleh majoriti dua per tiga pada Sabtu nanti.

Bercakap kepada media di Gombak hari ini Azmin berkata PN yakin mereka mampu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi parlimen lalu membentuk kerajaan persekutuan.

"Kami yakin bahawa PN akan mendapat jumlah yang cukup positif untuk membentuk kerajaan pada 19 Nov ini.

"Sudah tentulah PN nak lebih daripada 112 kerusi tetapi (buat masa ini) kami yakin dapat minumum 112," katanya.

Terdahulu Azmin merasmikan pertandingan e-sukan Piala DSAA di Taman Melewar, Gombak.

Secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi dan untuk membolehkan sesebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan, mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Azmin yang cuba mempertahankan kerusi Gombak yang dimenanginya melalui tiket PKR-PH pada 2018 menambah untuk membolehkan sasaran tersebut dicapai, jentera PN perlu bekerja keras dalam bagi tujuh hari terakhir menjelang Sabtu depan.

"Tidak ada perkara yang mustahil kerana pengundi hari ini cukup matang.

"Mereka mahukan kerajaan yang dapat memberikan khidmat dan bakti kepada mereka.

"Kalau kita (PN) dapat meyakinkan orang ramai, tak mustahil untuk kami mendapat sejumlah besar kerusi bagi membentuk kerajaan," katanya lagi.

Bekas timbalan presiden PKR yang berpaling tadah semasa Langkah Sheraton pada 2020 itu juga mendakwa melihat perubahan mood orang ramai ketika ini.

"Saya lihat ia boleh dicapai pada 19 Nov ini, insya-Allah," katanya.

Azmin yang juga anggota Ahli Pimpinan Majlis Tertinggi Bersatu juga percaya pengundi termasuk dalam kalangan masyarakat Cina akan menyokong gabungan itu pada PRU ke-15 ini berdasarkan rekod prestasi mereka sebagai kerajaan.

Prestasi begitu memberangsangkan

Katanya Bersatu memang parti berpaksikan Melayu tetapi dengan pendekatan berbilang kaum, mereka menjamin keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

"PN melihat potensi untuk mendapat sokongan daripada orang Cina dan India itu juga besar kerana kita sedia maklum, masyarakat Cina di Malaysia ini adalah masyarakat perniagaan.

"Mereka mahukan kestabilan, mahu peluang perniagaan, mahu sebuah kerajaan yang dapat mencipta dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

"Dan inilah prestasi PN dalam tempoh dua tahun - prestasi perdagangan, pelaburan itu cukup memberangsangkan," katanya.

Ditanya mengenai keyakinan BN bahawa mereka akan mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi pada Sabtu nanti, Azmin berkata ia hanya berdasarkan penilaian BN.

Apa yang lebih penting, tambahnya, ialah bagaimana rakyat menerima setiap parti yang bertanding dan manifesto masing-masing.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo