NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Awas! Godaan penipu


SABDA
Rasulullah SAW:

إِنَّهَا سَتَأْتِي عَلَى النَّاسِ سِنُونَ خَدَّاعَةٌ، ‌يُصَدَّقُ ‌فِيهَا ‌الْكَاذِبُ، ‌وَيُكَذَّبُ ‌فِيهَا ‌الصَّادِقُ، ‌وَيُؤْتَمَنُ ‌فِيهَا ‌الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ.

“Akan berlaku (pada akhir zaman) terhadap manusia itu tahun-tahun yang banyak penipuan. Dianggap benar orang yang berbohong, dibohongi orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang benar-benar amanah. Dan ketika itu kalangan mereka yang jahil bercakap.”

قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ يَا رَسُولَ اللهِ!

Lalu ditanyakan kepada Baginda: “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka?”

قَالَ: السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Sabda Rasulullah SAW:Orang orang yang jahil agama berlagak dengan membuat kenyataan (bercakap) dalam perkara besar (mengenai ummah).” (Riwayat Ahmad no. 7912)

Antara tanda kenabian Rasulullah SAW ialah memberikan suatu amaran kepada umatnya tentang kerosakan yang sedang terserlah kini, bahawa pada akhir zaman yang penuh dengan kekeliruan munculnya pelbagai kalangan penipu dan pembohong yang menyesatkan umat dan merosakkan aqidah serta kehidupan manusia.

Bahkan, kita menyaksikan wujud pelbagai cara pembohongan dan penipuan yang sangat mengelirukan. Golongan pengkhianat agama dan bangsa dinamakan golongan yang beramanah. Perasuah pula menempel dengan slogan melawan rasuah, laksana pencuri yang mengejar pencuri bersama orang ramai yang memburunya dengan laungan: ‘Pencuri! Pencuri!’. Melepaskan diri dengan sama-sama melaung-laung di tengah kegelapan malam.

Namun, al-Quran dan Sunnah Nabi (ajarannya) tetap dipelihara Allah SWT menjadi petunjuk sepanjang jalan dan zaman, laksana lampu yang menyuluh jalan gelap dalam keadaan tidak boleh dipadamkan cahayanya sekali-kali. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ٩﴾

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)

Kitab Allah (al-Quran) dan ilmu yang berkaitannya tetap dipelihara oleh Allah SWT, berbeza daripada kitab suci sebelumnya yang telah dipinda dan diselewengkan. Al-Quran itu dipelihara oleh Allah SWT secara riwayat dan dirayat.

Ia terpelihara secara riwayat bersandarkan kepada ilmu sanad yang mengkaji setiap orang yang meriwayatkan al-Quran pada setiap generasi para ulama’ dari segi keperibadian, iman, akhlak dan keilmuannya serta kekuatan ingatannya. Maka, berdasarkan asas tersebut akan diketahui manakah perkara yang sahih atau tidak sahih secara terperinci.

Adapun dipelihara al-Quran secara dirayatnya pula apabila dikaji dari segi makna dan maksud mengikut ilmu bahasa al-Quran yang tinggi, difahami daripada sebab ayat dan hadis dinyatakan dan hikmah yang disebutkan ilmu Maqasid al-Syari‘ah, pengurusannya (Siyasah Syar‘iyyah) dan kaedah hukum yang tepat (ilmu al-Quran, Sunnah dan Usul Fiqh). 

Umat Islam mesti bersatu dalam perkara dasar dan boleh berbeza dalam perkara cabang kerana perbezaan realiti serta situasi, namun tidak boleh sesat dan berpecah belah. Sehinggakan, tiada ruang lagi untuk dipertikaikan kebenaran dan keadilannya, serta kepercayaannya pula dikaitkan dengan iman atau aqidah yang menentukan penerimaan Allah SWT kepada semua amalan.

Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulil amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Kini, disaksikan dalam lapangan calon-calon DAP (termasuk parti-parti yang berwala’ atau setia dengannya) daripada kalangan Melayu Islam mengingatkan kita bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memilih wakil rakyat berdasarkan kaum dan agama, sebaliknya berdasarkan prestasi mereka. Ini menunjukkan bahawa neraca hidayah sudah tidak dipedulikan, tetapi cara yang menipu dan kepura-puraan yang menggoda pula menjadi pilihan.

Wajib diketahui bahawa Islam hanya membenarkan bertahaluf (bersefahaman) dan berta‘awun (bertolong-menolong) dengan pihak bukan Islam dengan sempadan ketetapan Allah SWT. Namun, tidak sekali-kali boleh bertoleransi dalam perkara wala’ (kepatuhan dan ketaatan) sehingga beriman dengan ideologinya yang tidak menepati ajaran Islam yang sempurna.

Penganut Islam haram tertipu sehingga melupai bahawa iman dan aqidah itu menjadi syarat penerimaan amal di sisi Allah SWT. Tanpa iman atau aqidah yang sahih, maka semua amalan yang baik itu ditolak dan tidak direstui-Nya, serta tiada keberkatan (kebaikan dunia dan akhirat).

Maka, sebaik-baik orang yang tidak beriman (kafir dan munafik) ditolak amalannya di sisi Allah dan sejahat-jahat orang yang beriman itu dibuka pintu taubat sekiranya dirinya bersalah atau berdosa atau dihukum. Oleh itu, syarat aqidah dan iman merupakan pertimbangan utama terhadap semua amalan di dunia sehingga ke akhirat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah segala amalmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang merugi.” (Surah al-Zumar: 65)

Walaupun sebaik-baik amal itu dilakukan oleh seorang yang paling baik seperti seorang nabi yang dilantik oleh Allah SWT, sekiranya dirinya tidak beriman maka amalannya juga tetap ditolak dan tidak sah di sisi-Nya.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A‘raf: 96)

Amalan baik tanpa ciri-ciri iman dan taqwa, pastinya tidak akan diterima oleh Allah SWT dan tiada keberkatan yang hanya diperoleh daripada petunjuk-Nya sahaja. Tidak akan didapati iman dan sifat taqwa dalam ideologi ciptaan manusia seperti DAP dan sepertinya.

Jasa Firaun menjaga Nabi Musa AS dan projek pembangunannya yang membantu rakyat juga ditolak oleh Allah SWT. Firaun dihukum fasiq dan melampau kerana tidak beriman walaupun bersikap budiman. Perkara ini disebutkan melalui firman Allah SWT:

﴿وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ٥١ أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ٥٢ فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ٥٣ فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ٥٤ فَلَمَّا آسَفُونَا انْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ٥٥ فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِلْآخِرِينَ٥٦﴾

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: ‘Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51); Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini (Musa AS dan Harun AS) dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52); Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?’ (53); Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq. (54); Maka, tatkala mereka membuat Kami (Allah) murka, Kami menghukum mereka, lalu kami menenggelamkan mereka semuanya (di laut). (57); Dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. (58)” (Surah al-Zukhruf: 51-58)

Pada zaman penjajah dahulu, orang Islam juga dijadikan alat untuk menipu umat Islam dengan berbagai-bagai cara yang halus dan licik, dilihat seakan mendapat keizinan untuk melaksanakan Islam mengikut acuan penjajah. Pendekatan ini terus dilakukan dengan cara halus dan penipuan secara terbuka.

Allah SWT juga mendedahkan bahawa terdapat dalam kalangan agamawan yang sedia menjadi alat syaitan. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ١٧٥ وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ  فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَاءَ مَثَلًا الْقَوْمُ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَأَنْفُسَهُمْ كَانُوا يَظْلِمُونَ١٧٧﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175); Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176); Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” (Surah al-A‘raf: 175-177)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang ulama’ jahat yang digoda oleh syaitan yang berada di belakangnya. Dia tidak menyedari bahawa dirinya dijadikan topeng oleh syaitan itu supaya menggoda dan mempengaruhi orang ramai agar terpesong dan terkeluar daripada petunjuk Allah SWT yang benar secara mutlak.  

Al-Quran ialah kitab Allah yang menjadi petunjuk yang kekal sepanjang zaman. Media sosial kini dan sepertinya yang meredah langit terbuka tanpa sempadan, boleh ditembusi oleh kerja-kerja tipu daya yang bohong dan menyesatkan menjadi alat tanpa sempadan. Justeru, berwaspadalah supaya kehidupan kita jangan dipesongkan oleh akal manusia yang sangat menggoda bersama syaitan yang bersifat manusia. Kini, ramai yang terpengaruh dengan media sosial yang fasiq, malah tertarik kepada godaannya.

Allah SWT memberikan peringatan lebih awal sebelum terciptanya media sosial dan platform sepertinya melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)

Maka, adalah menjadi suatu hikmah yang sangat besar, apabila himpunan 30 juzuk al-Quran ditutup dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١ مَلِكِ النَّاسِ٢ إِلَهِ النَّاسِ٣ مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan (yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia. (1); (Tuhan yang menjadi) Raja bagi sekalian manusia. (2); (Tuhan yang menjadi) sembahan sekalian manusia. (3); Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi. (4); Yang membisikkan (kejahatannya) ke dalam dada (hati) manusia. (5); (Iaitu pembisik) daripada kalangan jin dan manusia.’ (6)” (Surah al-Nas: 1-6)

Bahkan, ada juga syaitan sesama manusia yang sangat menggodakan sehingga mereka sangat mengelirukan bagi menentukan manakah yang benar dan salah. Sehinggakan, perkara yang salah dan sesat dilihat benar dan betul, manakala perkara yang betul pula dianggap salah dan sesat. Bohongnya tidak kelihatan dan tipunya tidak dirasai, walaupun berulang kali berlaku dengan janji yang nyata langsung tidak ditunaikan.

Selain itu, khianatnya pula dinamakan amanah, manakala amanah yang sebenar dianggap khianat. Allah SWT menguji sikap sebahagian golongan manusia itu terhadap kemungkaran yang terbuka, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، ‌فَإِنْ ‌لَمْ ‌يَسْتَطِعْ ‌فَبِلِسَانِهِ، ‌فَإِنْ ‌لَمْ ‌يَسْتَطِعْ ‌فَبِقَلْبِهِ، ‌وَذَلِكَ ‌أَضْعَفُ ‌الْإِيمَانِ.

“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat perkara munkar (yang haram), maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu mengubahnya, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka hendaklah membenci dengan hatinya dan membenci dengan hati ini adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim no. 49 dan Ahmad no. 11460)

Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat perkara munkar (salah dan haram), maka hendaklah ia mengubah dengan tangan (kekuasaan). Sekiranya tidak mampu, maka dengan lidah (nasihat). Malah, jika tidak mampu juga mengubah, maka dituntut agar benci dalam hatinya dan ini merupakan selemah-lemah iman.

Maka, berdiam diri terhadap kemungkaran atau mencegah secara terpilih adalah menandakan kelemahan imannya.

Allah SWT menceritakan pendedahan syaitan itu pada Hari Kiamat nanti melalui firman-Nya:

﴿وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢٢﴾

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tiada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya, aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.’ Sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah Ibrahim: 22)

Maka, janganlah sekali-kali digoda dan ditipu oleh syaitan atau golongan yang menjadi bala tenteranya yang dibinasakan oleh Allah SWT.

Di sini hikmah Allah SWT mengajar kita berdoa pada tiap-tiap kali dalam rakaat solat dengan firman-Nya:

﴿إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ٥ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ٦ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ٧﴾

“Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” (Surah al-Fatihah: 5-7)

Kita memohon agar berada pada jalan yang lurus bersama jalan para nabi, syuhada’ yang berjuang dan golongan yang ikhlas beriman bersamanya. Bukan pula bersama kalangan yang alim dan berilmu tetapi menipu, dan bukan bersama kalangan yang jahil dan menyesatkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Rabi‘ al-Akhir 1444 / 17 November 2022 – HARAKAHDAILY 17/11/2022




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo