NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak kerjasama tak bermakna bermusuh



KUALA LUMPUR:
Keputusan PAS bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukannya bermakna parti itu bermusuhan dengan UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyebut langkah untuk menghentikan kerjasama dengan UMNO walaupun ada ada usaha mempererat lagi hubungan dalam PN.

Beliau berkata, PAS terbuka dengan rundingan dengan UMNO sama ada sebelum ataupun selepas PRU-15, termasuk untuk membentuk kerajaan campuran, jika tiada parti yang dominan untuk menubuhkan kerajaan.

"Saya tak anggap begitu. Kenyataan Presiden PAS mempererat lagi hubungan dalam PN tetapi tidak pernah menyatakan tidak bekerjasama dengan UMNO. Kalau perhatikan betul-betul kenyataan itu, tidak ada.

"Sebab kita menyebutkan penyauan ummah. Anda tidak boleh bermusuhan. Kalaupun tidak boleh berkawan tetapi jangan bermusuh. Anda tak boleh berkawan, jangan isytihar bermusuhan. Itu tak boleh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pendakian 121 Puncak sempena Ulangtahun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia ke-121 di sini, hari ini.

Mengulas kegusaran UMNO Pulau Pinang yang masih menaruh harapan terhadap kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Takiyuddin berkata, perlu ada persefahaman di antara kedua-dua parti supaya tidak berlaku pertindihan kerusi ditandingi.

"Kalau sekiranya gabungan tak dapat, ada percaturan. Maknanya macam persefahaman di antara parti. Mungkin apabila parti tertentu meletakkan calon dan parti ini tak letak. Itu dipanggil persefahaman.

"Boleh jadi begitu. Bukan saya nak katakan ada tetapi boleh jadi begitu. Bila kita tak berjaya menubuhkan gabungan bersama, kita boleh berbincang dari segi persefahaman," katanya.

Menjawab pertanyaan sama PAS tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti yang memenangi PRU-15, beliau berkata, pihaknya terbuka untuk berbuat demikian tetapi bukan dengan Pakatan Harapan (PH).

"Sudah semestinya kalau selepas pilihan raya memang perkara yang boleh dijangka, terutama bila tidak ada 'single party' yang dominan untuk menubuhkan kerajaan. Tidak ada pilihan, lain melainkan perlu ada kerjasama di antara parti-parti.

"Ya (pas sedia) untuk (bentuk kerajaan) campuran. Kami sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan pada bila-bila masa sekalipun. Dengan PH? Memang kita tak ada hubungan," katanya.

PAS enggan bekerjasama dengan PH kerana bermusuhan dengan DAP. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
PAS enggan bekerjasama dengan PH kerana bermusuhan dengan DAP. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo