NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN sifatkan Bajet 2023 tidak sempat Lulus sebagai sia-sia

KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu hanya sia-sia apabila Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia juga membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas-pulas mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan bajet itu.

"Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata PN menegaskan supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara.

Ia termasuk menyediakan bantuan kewangan peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat.

"Kerajaan PN telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri," katanya.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus dan prestasi pelaburan serta perdagangan yang amat memberangsangkan adalah hasil langsung daripada Dasar Pelaburan Baharu negara yang diluluskan oleh Kerajaan PN pada April 2021.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo