Semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada pembayaran tanpa tunai kerana pelbagai kelebihan dan lebih selesa. - Foto hiasan |
KUALA LUMPUR: Pembayaran tanpa tunai menjadi antara pilihan sebilangan besar masyarakat pada hari ini apabila ia dikatakan lebih selesa dan selamat untuk digunakan dalam segala urusan harian serta perniagaan.
Menurut penjawat awam, Zuleeza Satiman, 32, dia tidak mengetepikan pembayaran secara tunai, namun memilih untuk melakukan pembayaran tanpa tunai kerana lebih mudah serta mampu mengelakkan daripada berlakunya kegiatan jenayah.
“Saya pengguna dua-dua (kaedah pembayaran), tetapi saya lebih memilih tanpa tunai, lagi senang menggunakan kad sahaja, kalau tunai ini renyah, dan boleh mengelakkan (jenayah) penggunaan wang palsu juga.
“Lebih-lebih lagi, sekarang ini pascapendemik COVID-19, kalau boleh elakkanlah daripada sentuhan, jadi tanpa tunai adalah lebih selamat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Kakitangan swasta, S. Mahesh, 51, berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai membolehkannya menjejaki sebarang perbelanjaan dan transaksi termasuk lebih menjimatkan masa.
“Saya memilih untuk tanpa tunai kerana boleh mengetahui status semasa penyata bank apabila melakukan sebarang pembayaran, jejak perbelanjaan dan tak perlu lagi membawa tunai yang banyak.
“Ini termasuk membayar parking kenderaan dengan hanya menyentuh sahaja kad dan tak perlu lagi ke kaunter. Semua ini tidak membuang masa,” ujarnya.
Zuleeza Satiman (kiri) dan S. Mahesh. - Foto Astro AWANI |
Selain itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga mengakui pembayaran tanpa tunai banyak membantu melancarkan perniagaan mereka, di samping memberi pilihan yang lebih fleksibel kepada pelanggan untuk melakukan transaksi.
Bagi peniaga kopi, Ashman Danial Kamarudin, 27, dia menerima pembayaran secara tunai, namun lebih selesa apabila pelanggan membayar tanpa tunai kerana mempunyai keselamatan yang terjamin.
“Buat masa sekarang, saya terima dua-dua jenis pembayaran, tetapi lagi selamat pembayaran tanpa tunai.
“Pada pendapat saya pembayaran secara dalam talian ini selain selamat, ia juga mengurangkan (risiko) untuk kami terima duit palsu daripada pelanggan,” katanya.
Manakala, peniaga barangan aksesori, Iqbal Nasution, 19, insiden ditipu pelanggan yang membayar menggunakan duit palsu telah meningkatkan kesedarannya untuk mengalihkan cara pembayaran oleh pelanggan kepada pembayaran tanpa tunai.
“Saya lebih memilih tanpa tunai kerana memudahkan transaksi atau pembayaran. Misalnya dahulu ada juga pelanggan ‘busuk hati’ yang membayar menggunakan duit palsu sebanyak RM100 dan akhirnya merugikan kami.
“Tambahan, kadang-kadang orang juga lupa hendak membawa dompet dan hanya membawa telefon, memang mudahlah kalau ada benda ini (pembayaran tanpa tunai),” jelasnya.
Ashman Danial Kamarudin (kiri) dan Iqbal Nasution. - Foto Astro AWANI |
Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada segelintir masyarakat yang memilih pembayaran secara tunai kerana belum selesa untuk mengadaptasi cara pembayaran masa kini, selain meragui keselamatan data mereka.
“Saya memang pengguna tunai, bagi saya lambatlah sikit kalau nak ke arah tanpa tunai ini. Saya generasi lama, jadi sudah terbiasa dengan cara lama. Tetapi tidak bermaksud saya anti, cuma ia memerlukan sedikit masa (untuk adaptasi teknologi baharu).
“Sebab bagi saya bila mana duit yang dimasukkan atau dikreditkan itu tidak nampak, macam-macam perkara boleh berlaku. (Ada) keselamatan sekalipun, (penjenayah) mungkin boleh ubah keselamatan itu.
“Kalau guna tunai ini mungkin payahlah sikit perkara sebegini akan berlaku tetapi bukan tidak boleh langsung berlaku,” jelas pesara, Nahwan Abdullah, 64.
Di samping itu, pekerja swasta, Mazlan Kardinal, 29, dia memilih pembayaran secara tunai kerana ingin mengelakkan perkara yang boleh menyebabkannya ditipu atau diperangkap.
“Sekarang ini banyak penipuan akaun dan sebagainya, kalau saya lebih memudahkan (pembayaran secara tunai). Itu sahaja,” jawabnya ringkas.
Nahwan Abdullah (kiri) dan Mazlan Kardinal. - Foto Astro AWANI |
Sementara itu, Pengarah Risiko dan Pematuhan PayNet, Ken Yon Kian Guan berkata, orang ramai boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pembayaran tanpa tunai dengan mengambil perhatian terhadap beberapa langkah berwaspada.
“Kita perlu menjaga maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun, kata laluan perbankan, nombor kata laluan guna sekali (OTP) sebaik mungkin. Jangan sesekali memberi maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali, pengguna harus sentiasa peka apabila berkomunikasi dengan individu atau pihak tidak dikenali terutamanya melalui panggilan telefon.
“Jika anda menerima emel yang meminta mengisi maklumat atau menyatakan anda telah memenangi hadiah, itu adalah taktik memancing data atau phishing. Jangan menekan atau memuat turun link atau padam sahaja.
“Jika anda mendapati aktiviti mencurigakan dalam aktiviti perbankan anda atau menerima mesej transaksi yang tidak sah. Segera hubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), iaitu 997 untuk menyekat transaksi tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi kewangan bagi menyediakan insfrastruktur keselamatan pembayaran terjamin termasuk menginovasi sistem pembayaran.
“Selain itu, PayNet membuat kempen atau jerayawara terutama di kawasan pedalaman untuk servis pembayaran yang kami sediakan seperti MyDebit, JomPAY dan DuitNow bagi menyebarkan maklumat tentang sistem pembayaran ini dan meningkatkan keyakinan dalam pembayaran tanpa tunai atau dalam talian.
“PayNet juga terlibat bersama NSRC dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi perbankan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Foto play net |
Oleh itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta bijak membuat keputusan kewangan, boleh sertai Pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 yang dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pada 29 hingga 30 Oktober ini di IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara.
Pameran tersebut akan membantu anda memulakan langkah kewangan dengan alat dan ilmu pengetahuan yang betul.
Untuk maklumat lanjut, layari www.fenetwork.my.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment