NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya tak akan merayu walaupun digugurkan tanpa petunjuk awal - Charles Santiago


SHAH ALAM:
"Saya tidak akan merayu kepada parti untuk dikekalkan di Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, walaupun pengguguran saya ini tidak pernah diberi petunjuk awal oleh DAP," kata penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago.

Beliau berkata, DAP sudah membuat ketetapan mengenai kedudukannya pada PRU15 dan sebagai ahli parti, dia akur dengan keputusan itu walaupun tiada pengaturan atau petunjuk diberi kepadanya bahawa 2018 adalah penggal terakhir dia bertanding di kerusi itu.

Katanya, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa kononnya dia sudah mengetahui tidak terpilih pada PRU15 ini hanya langkah untuk mengurangkan kritikan terhadap penggantinya di kerusi itu.

"DAP tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa 2018 adalah kali terakhir saya diletakkan sebagai calon. Tiada petunjuk mengenai perkara itu langsung termasuk tempat saya akan digantikan orang lain pada 2013 atau 2018, seperti dicadangkan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

"Jadi, kenyataan Loke (kononnya saya sudah tahu mengenai perkara itu) hanya untuk mengurangkan kritikan selepas saya dikecualikan daripada senarai calon PRU15, walaupun sebelum senarai rasmi diumumkan.

"DAP sudah buat keputusan, saya akur dan tidak akan merayu untuk kekal di kerusi berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Charles berkata, dia gembira apabila Loke dan Gobind mengiktiraf kemurahan hatinya yang menerima keputusan parti, tetapi tindakan mereka itu dibuat selepas menerima kritikan kuat berhubung perkara itu.

Beliau berkata, walaupun diperlakukan sedemikian, dia tetap mahu DAP dan Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU15 ini.

"Saya perlu menjelaskan perkara sebenar kerana ia membabitkan integriti saya. Saya menceburi politik untuk memajukan agenda rakyat dan memberi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri sendiri.

"Saya tidak berada dalam politik untuk membina puak saya," katanya.

Sementara itu, mengulas penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning, V Ganabatirau yang bakal menggantikannya bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi tiga penggal berturut-turut itu, beliau berkata, ia bergantung kepada calon baharu itu nanti.

Media sebelum ini melaporkan Charles digugurkan sebagai calon DAP di kerusi Parlimen Klang yang bakal digantikan Ganabatirau.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo