NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KJ dicampak ke Parlimen Alor Gajah pula?


MELAKA:
Selepas kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Tampin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kini dikaitkan pula sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam senarai terbaharu yang dikatakan hampir dimuktamadkan BN dalam beberapa hari lagi, Menteri Kesihatan yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau itu dikatakan diberi tanggungjawab untuk merampas kerusi berkenaan daripada BERSATU.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menang kerusi berkenaan menewaskan Wong Nai Chee (BN) dan Nazree Aris (PAS). Mohd Redzuan kemudian meninggalkan PKR dan menyertai BERSATU.

Sebelum ini, Khairy dikatakan bakal diletakkan sama ada di kerusi Parlimen Kuala Pilah disandang BERSATU atau Tampin disandang Parti Amanah Negara (AMANAH) berikutan Parlimen Rembau hampir pasti ditandingi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ada juga ura-ura Menteri Kesihatan itu kemungkinan besar bertanding kerusi Parlimen Sungai Buloh yang kini disandang PH melalui wakil PKR, R Sivarasa.

Jika Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu diletakkan BN di Alor Gajah, beliau dijangka ditentang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mewakili PH serta penyandang Mohd Redzuan yang dijangka dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada 21 Oktober lalu, Khairy dilaporkan berkata, beliau sudah mengenal pasti kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada PRU15, iaitu hampir pasti di kawasan yang disandang parti lawan, namun enggan mendedahkan sehingga pengumuman dibuat pucuk pimpinan BN.

"Hampir pasti saya tidak akan dapat kerusi yang dianggap selamat. Kita akan tengok daripada pucuk pimpinan mana kerusi itu, Insya-Allah saya terima cabaran berkenaan demi parti dan tanggungjawab bagi mewakili parti saya di kawasan yang kita kalah," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dijangka dipertanggungjawabkan untuk merampas kerusi Parlimen Masjid Tanah daripada penyandang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili PN.

Mas Ermieyati menang atas tiket BN pada PRU14 sebelum melompat ke BERSATU. PH pula dijangka mempertaruhkan bekas Setiausaha Politik Adly, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat di Masjid Tanah.

Sumber memaklumkan, saingan sengit turut dijangka di Parlimen Tangga Batu yang diramal menyaksikan pertembungan di antara Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, mewakili BN.

Mohamad Ali, Ketua UMNO Tangga Batu yang tewas di DUN Sungai Undang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, dikatakan bakal dipertaruhkan BN bagi merampas Tangga Batu daripada PH menerusi wakil PKR, Dr Rusnah Aluai yang dijangka dicalonkan semula.

"Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong yang juga Pengerusi MCA Melaka turut dikatakan bakal dicalonkan BN di Parlimen Hang Tuah Jaya," kata sumber berkenaan.

Jika menjadi kenyataan, Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, hampir pasti ditentang Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, Mohd Rafee Ibrahim mewakili PH dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail sebagai calon PN.

BN juga dikatakan akan mempertaruhkan bekas ADUN Merlimau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jasin selepas penyandang, Datuk Seri Ahmad Hamzah menolak dicalonkan semula.

Roslan atau lebih dikenali sebagai Datuk Ron dijangka ditentang Ketua AMANAH Kota Melaka, Datuk Harun Mohamed serta bekas Ketua Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin mewakili PN.

Bagi Parlimen Kota Melaka, penyandang kerusi Khoo Poay Tiong disahkan sebagai calon DAP semalam dan dikatakan bakal dicabar calon MCA, Corny Chew, manakala PN pula dikatakan akan meletakkan Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen dan pada PRU14, BN menang di Jasin dan Masjid Tanah, PH melalui PKR menguasai Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu, DAP (Kota Melaka) dan BERSATU (Alor Gajah).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo