NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS mampu tadbir negara, boleh selamatkan RM3 trilion duit rakyat

Saya telah menulis semalam berkenaan PAS satu-satunya parti yang berpegang kepada prinsip perjuangannya dari mula sehingga kini iaitu mendaulatkan Islam, mengangkatnya ke tempat tertinggi, sesuai dengan kedudukan Islam itu sendiri. Tidak pernah berubah walau pembencinya memfitnah, menyerang kerana mahu meruntuhkan prinsip PAS yang sebati bersama Islam itu.

Berlainan dengan parti lain yang begitu gelabah mencari Islam untuk digunakan sewaktu PRU. Sanggup memakai jubah, membaca ayat al-Quran dan sebagainya. Dan selepas PRU, maka Islam dilihat pula sebagai menyusahkan, terlalu banyak halal dan haram, menghalang pembangunan, memutuskan ikatan antara kaum. Islam tidak lagi berguna, disimpan dalam stor, akan dibuka sewaktu kesusahan, kemalangan bagaikan kotak 'first aid'.

Prinsip PAS ini dihormati semua pihak. Buktinya, apabila PAS bersama DAP, Dayana Sofea mula mengenakan tudung ketika berjumpa Presiden PAS. Bukan Presiden PAS berseluar yengki, memakai jeans ketat, berkaca mata hitam, bertopi koboi, semata-mata mahu bermesra dengan wakil DAP itu. Nga Kor Ming, membaca ayat suci al-Quran dalam ceramahnya. Tidak pula Presiden PAS membaca bait-bait perkataan dalam kitab Buddha Nga sebagai pedoman.
Apabila PAS berkawan dengan Umno pada kali pertama, 73-77, PAS berjaya mengeluarkan buku-buku berkaitan aqidah yang menjadi pedoman umat Islam. Menghapuskan arak dalam majlis-majlis kerajaan, memberikan idea berkenaan perbankan Islam dan Umno menurutinya. Pada kali kedua PAS dan Umno bermuafakat, Presiden Umno meminta maaf atas kejahatan mereka terhadap PAS, sekaligus membuktikan prinsip PAS atas Islam adalah benar dan tetap. Tiadalah pula PAS minum arak, berjudi atau rasuah kerana Umno.

PKR tidak dapat mempengaruhi PAS ketika menjadi rakan dahulu. Tetapi, tidak sedikit orang PKR mulai faham apa itu qazaf, apabila Tuan Guru Presiden PAS menulis buku berkenaan itu. Begitu juga muslimat PAS. Mereka tidak pernah membuang hijab kerana mahu meraikan rakan mereka dari berbagai latar belakang. Tidak juga terkinja-kinja berjoget, berdisko atu berhula-hoop semata-mata mahu mengaut undi.

Pemuda PAS juga, tidak mengenakan celana pendek kerana meraikan kumpulan lain bermain bola. Tidak pernah masuk ke kuil bagi menyembah berhala mereka demi untuk undi. Tidak juga duduk bersama berjudi kerana mahu menarik golongan penjudi. Jadi kekal terbukti PAS berprinsip dengan prinsip Islam yang mulia itu.

Atas nama kekal berprinsip ini, maka semua perilaku pimpinan PAS yang terkawal dengan Islam ini, dibawa sehingga ke dalam sistem pemerintahan. Terbukti di Kelantan selama 32 tahun, pimpinan PAS tiada rasuah, sedangkan mereka boleh sahaja mengikut parti lain yang membaham duit rakyat untuk menjadi kaya. Pintu untuk itu, terbuka luas. Tetapi PAS menutupnya.

Tiga kali PAS mengemudi Terengganu, tiada juga sebarang salah laku, hanya fitnah, sekatan ekonomi yang mengiringi perjalanan pentadbiran PAS. Kini, 20 manifesto semuanya sudah dan sedang ditunaikan oleh PAS. Di Kedah, pelaburan berbilion ringgit dicatatkan, judi ditutup hasil daripada kesungguhan PAS menjaga amanah yang diberikan. Semua pembangunan dunia itu dilakukan berasaskan kepada Islam.

Melepasi tembok Putrajaya, menteri-menteri PAS tidak mensia-siakan peluang bagi menonjolkan Islam dalam penampilan dan pentadbiran dalam portfolio masing-masing. Dan mereka berjaya dengan berbagai anugerah, tanpa rasuah, tanpa salahguna kuasa malah dipuji oleh Perdana Menteri, dari kumpulan musuh PAS bahawa menteri-menteri PAS tidak gilakan jawatan, tidak menyusahkan kerajaan.

Semua yang tidak berkait Islam mahukan, sedaya mungkin, PAS hapuskan. Semua yang Islam ingin tegakkan, sekuat tenaga PAS cuba realisasikan menurut kuasa yang ada. Prinsip PAS terhadap Islam, tidak pernah berubah. Oleh kerana prinsip yang teguh inilah, PAS mampu mentadbir negara, sudah dibuktikan di semua peringkat, negeri dan negara. Kita dimuliakan kerana Islam. 

BN-71, PH-21dan PAS sifar rasuah. Angka ini mesti diingat, bukan hanya kerana PAS tiada kes rasuah, tetapi angka ini ialah pembuktian, dengan Islam, PAS mampu mentadbir negara dengan bersih, sekaligus akan berjaya menyelamatkan sejumlah RM3 trilion, hasil dari aktiviti rasuah dari parti-parti musuh PAS dalam masa 25 tahun lalu, sebagaimana dapatan oleh CEO EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Mohd Nasir Abdullah
30 Oktober 2022

#BEST
#bersihdanstabil
#TeguhPertahan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo